Pekerja gig tertekan kenaikan mendadak premium insurans kesihatan

Iklan
Gambar hiasan.

SHAH ALAM - Kenaikan had tahunan yang munasabah bagi kadar premium insurans kesihatan perlu dihadkan menerusi mekanisme kawalan harga bagi melindungai masyarakat, khususnya pekerja sektor gig yang semakin tertekan.

Iklan
Iklan

Ketua Aktivis Gabungan eHailing Malaysia (GEM), Jose Rizal berkata, pekerja gig, khususnya pemandu e-hailing kini turut berhadapan dengan cabaran serupa dalam kadar premium insurans tambahan sektor e-hailing.

Kadar premium insurans tambahan untuk pemandu e-hailing terus meningkat mendadak melebihi 40 peratus setiap tahun tanpa justifikasi yang jelas.

Iklan

"Pihak berwajib perlu menilai semula dasar liberalisasi insurans yang memberikan kebebasan terlalu luas kepada syarikat insurans dalam menentukan kadar premium," katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Beliau berkata, penilaian semula dasar liberalisasi insurans wajar dilaksanakan mengambil kira makluman daripada Bank Negara Malaysia (BNM) ketika sesi libat urus bahawa kenaikan tersebut berlaku disebabkan liberalisasi industri insurans dan undang-undang sedia ada yang membenarkan pihak insurans menetapkan kadar sesuka hati.

Iklan

Tegas beliau, alasan tersebut tidak sepatutnya dijadikan justifikasi untuk membiarkan syarikat insurans bertindak sewenang-wenangnya tanpa kawalan dan pemantauan.

"Persoalannya, jika BNM sendiri mengakui bahawa mereka tidak dapat mengawal situasi ini, siapakah pihak yang harus dipertanggungjawabkan?

"Adakah kita sebagai rakyat dan pekerja sektor gig hanya mampu pasrah melihat syarikat insurans gergasi terus bermaharajalela?" soalnya.

Sehubungan itu katanya, pihak berwajib juga perlu mewujudkan konsultasi awam yang lebih inklusif sebelum sebarang keputusan berkaitan kenaikan kadar insurans dilaksanakan.

"Kami percaya bahawa isu ini memerlukan perhatian segera demi melindungi kebajikan rakyat dan memastikan keadilan dalam sistem insurans di Malaysia," katanya.