SUNGAI PETANI - Seorang petani meninggal dunia selepas terjatuh dari pokok petai di sebuah kebun di Kampung Perlis, Tikam Batu dekat sini hari ini.
Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Wan Azharuddin Wan Ismail berkata, pihaknya menerima maklumat berkaitan kejadian menimpa Ahmad Yaakop, 60, yang mengambil upah mengait petai, kira-kira 8.30 pagi.
Iklan
Iklan
"Adik mangsa (Abdul Rahman, 51) memberitahu, semasa dia berada di rumah, orang kampung datang dan memaklumkan mereka menemukan abangnya telah jatuh dari pokok petai.
"Adik mangsa kemudian menghubungi ambulans, bagaimanapun mangsa disahkan meninggal dunia oleh pegawai Kementerian Kesihatan (KKM) di lokasi kejadian," katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, semakan rekod kesihatan mendapati mangsa tidak mempunyai sebarang rekod rawatan di Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH).
"Mangsa mengalami pelbagai kecederaan pada bahagian kepala, pergelangan tangan dan kaki. Mayat dihantar ke Jabatan Forensik HSAH untuk bedah siasat dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut," katanya. - Bernama