[VIDEO] TPM arah agensi berkaitan pantau lokasi tanah runtuh

Iklan

HULU TERENGGANU - Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengarahkan pihak berkaitan memantau kawasan berisiko terutama melibatkan lereng bukit atau gunung bagi mengelak berlaku kejadian tanah runtuh.

Menurutnya, langkah itu perlu diambil bagi mengelak tragedi tanah runtuh yang menimpa kediaman penduduk di Kampung Bukit Apit, Ajil di sini tidak berulang.

Iklan
Iklan
Ahmad Zahid (tengah) melawat keluarga mangsa tanah runtuh yang tinggal sementara di sebuah rumah sewa di Kampung Bukit Apit, Ajil di Hulu Terengganu pada Sabtu.

"Isu berkaitan tanah runtuh ini di bawah Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia (JMG), jadi kita akan menghantar pasukan daripada jabatan itu untuk ke lokasi (tanah runtuh).

"Ia kerana kita melihat (terdapat) laluan air bawah tanah yang dikhuatiri akan menyebabkan berlaku runtuhan selanjutnya," katanya.

Iklan

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas pemberita selepas meluangkan masa kira-kira setengah jam menziarahi keluarga mangsa tanah runtuh di sini pada Sabtu.

Dalam perkembangan sama, Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata, orang ramai dinasihatkan supaya lebih berhati-hati terutamanya sepanjang tempoh musim Monsun Timur Laut (MTL).

Iklan

"Mereka yang berada di kawasan cerun atau di kawasan lereng bukit, gunung dinasihatkan supaya lebih berhati-hati.

"Semua pihak harus bersiap-siaga kerana keadaan MTL ini pada 2024 lebih buruk berbanding 2014.

"Malah ianya bukan berlaku di negeri-negeri Pantai Timur, malah juga berlaku di sembilan negeri lain disebabkan (faktor) pemanasan global dan juga 'climate change', maka semua kemungkinan boleh berlaku," ujar beliau.

Ahmad Zahid turut menyampaikan sumbangan kepada ibu mangsa tragedi tanah runtuh, Ruziah Fuad, 46, yang kini menetap di rumah sewa baharu yang disediakan oleh kerajaan negeri di kawasan berhampiran.

Sebelum itu, Ahmad Zahid bersama beberapa agensi dan jabatan kerajaan turut meluangkan masa meninjau lokasi berlakunya kejadian tanah runtuh.

Hadir sama, Exco Infrastruktur, Utiliti dan Pembangunan Luar Bandar negeri Terengganu (Pengurusan Bencana), Hanafiah Mat dan Exco Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional Terengganu, Maliaman Kassim.