SHAH ALAM - Perkongsian gambar peribadi termasuk anak di bawah umur juga boleh mengundang kepada jenayah siber seperti pedofilia.
Pengasas Persatuan Untuk Anak Kita (PUAKPayong), Syed Azmi Alhabshi berkata, keterujaan sesetengah ibu bapa menyiarkan gambar anak walaupun sekadar memori tidak harus berlebihan kerana boleh menarik perhatian penjenayah.
Menurutnya, tanpa disedari, mereka telah menjadi penyumbang kepada punca berlakunya jenayah tersebut.
"Macam kes pedofilia, penjenayah seperti ini ‘dilindungi’. Dia tidak bergerak sendiri tetapi bergerak berdasarkan haluan orang ramai.
"Apabila menyiarkan gambar anak dan ramai orang puji, dari situlah ibu bapa akan rasa suka menerima pujian.
"Secara tidak langsung, ia membuka peluang kepada penjenayah,” katanya kepada Sinar Ahad.
Tambah Syed Azmi, ibu bapa juga perlu bertindak menyekat kandungan di media sosial bagi mengelakkan anak-anak mereka terdedah dengan jenayah siber.
"Kalau bayi, kita boleh ‘pagar’ dia, tetapi jika sudah besar dan mula ada media sosialnya sendiri, anak-anak kena faham bahaya itu apa.
"Ibu bapa kena terangkan kepada anak. Contoh, ‘tidak’ maksudnya tak boleh buat, jadi mereka tahu dan faham akan bahayanya,” ujarnya.
Tambah beliau, perlakuan yang tidak elok turut menjadi salah satu faktor mendorong kanak-kanak untuk melakukan jenayah tanpa disedari.
"Kadang-kadang mereka tak tahu benda ‘kecil’ yang dibuat itu adalah jenayah.
"Jadi, yang salahnya bukan siber atau media sosial tetapi kandungan dibuat. Bagaimana kita nak tahu itu salah?
"Dengan memeriksa adakah ia berdasarkan batas-batas peraturan, adab atau budaya kita,” jelasnya.