Tiada sistem pengairan, serangan penyakit punca tanah sawah terbiar

Iklan
Yahya (duduk: kiri) menandatangani perjanjian sewaan tanah bersama wakil penduduk kampung di Tandek dan disaksikan Hendrus (tengah) di Dewan Tandek, Kota Marudu.

KOTA MARUDU - Tiada sistem pengairan dan mengalami serangan penyakit menyebabkan rata-rata penduduk kampung di Tandek berhenti menanam padi di kawasan masing-masing dan akhirnya menyebabkan tanah tersebut terbiar sejak beberapa tahun lalu.

Malah disebabkan kekurangan sumber tenaga untuk meneruskan pekerjaan sebagai petani juga antara punca tanah seluas 50.5 hektar di kawasan tersebut terbiar begitu saja ketika ini.

Demy

Iklan
Iklan

Perkara itu diakui penduduk Kampung Mosolog, Demy Moni, 59, bahawa tanahnya seluas 3.2 hektar terbiar sejak lima tahun lalu.

"Sebelum ini memang saya ada tanaman padi tapi terpaksa dihentikan apabila kawasan tersebut sudah tiada air. Sejak itu saya tiada pendapatan sendiri.

Iklan

"Malah anak-anak juga tiada di kampung untuk meneruskan tanaman sawah padi kerana masing-masing sudah mempunyai pekerjaan dan ada yang masih belajar," katanya ketika ditemui pemberita selepas menghadiri majlis menandatangani perjanjian sewaan tanah di Dewan Tandek, di sini baru-baru ini.

Jepal

Bagi seorang lagi penduduk Kampung Salimandut, Jepal Awai, 60, dia terpaksa menghentikan tanaman sawah padi sejak tiga tahun lalu selepas tidak mampu menanggung kos tanaman makanan ruji tersebut.

Iklan

"Kali terakhir tanam padi tiga tahun lalu, tetapi disebabkan serangan penyakit dan kos sewaan mesin jentera bajak tanah serta tuai padi yang mahal tidak berbaloi untuk meneruskan tanaman ini.

"Malah saya sendiri sudah semakin tua, tidak mempunyai kudrat untuk membanting tulang di sawah. Jadi sejak itu tanah seluas dua hektar terbiar," katanya.

Sementara itu, Pengerusi Koperasi Tanjung Keramat, Datuk Seri Yahya Husssin berkata, tanah yang terbiar tersebut akan diusahakan menerusi perjanjian sewaan dengan penduduk kampung untuk dimajukan dengan tanaman jagung bijian.

"Setakat ini ada kira-kira 120 ekar pemilik tanah bersetuju untuk operasi penyelenggaraan yang akan digunakan untuk menanam jagung.

"Tujuan kita adalah membantu rakyat di luar bandar, daripada tanah itu terus terbiar, tidak mengeluarkan hasil, lebih baik diusahakan melalui kerjasama," katanya.

Menurut Pembantu Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan Sabah, Datuk Hendrus Anding pula, melalui program usahasama koperasi itu akan mendatangkan manfaat kepada pemilik tanah atau penduduk sekitarnya.

"Melalui perjanjian sewaan ini sudah tentu pemilik tanah akan dapat menjana pendapatan yang dipersetujui secara per ekar.

"Jadi sudah tentu dalam setiap bulan mereka mempunyai sumber pendapatan melalui tanaman jagung bijian ini dan kita mengharapkan supaya ia dapat mengurangkan lagi bilangan miskin tegar khususnya di kawasan Tandek ini," katanya.