Selangor satu-satunya negeri laksana dasar moratorium pembalakan - Suee Lim

Iklan
Suee Lim (kiri) menandatangani plak perasmian semasa Majlis Perasmian Penutupan Karnival Ban Canal 2024 di Parit 14, Simpang Lima di sini pada Ahad.

SABAK BERNAM - Selangor menjadi satu-satunya negeri yang melaksanakan dasar moratorium pembalakan bagi pemuliharaan hutan simpanan kekal (HSK) selama tempoh 25 tahun.

Exco Pelancongan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Ng Suee Lim berkata, dasar yang diperkenalkan oleh bekas Menteri Besar Selangor, Allahyarham Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim pada tahun 2008 itu menjamin tiada sebarang aktiviti pembalakan di dalam kawasan HSK.

Iklan
Iklan

Menurut beliau, kerajaan negeri memberi keutamaan kepada kepentingan memulihara khazanah hutan untuk generasi akan datang.

"Selangor kekal komited untuk memberi tumpuan terhadap kelestarian serta khazanah hutan rimba bagi mengekalkan kehijauan di negeri ini tidak kurang daripada 30 peratus," katanya.

Iklan

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Penutupan Karnival Ban Canal 2024 di Parit 14, Simpang Lima di sini pada Ahad.

Suee Lim yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sekinchan memberitahu, melalui usaha ini, kerajaan Selangor ketika ini mempunyai kawasan berhutan melebih 31 peratus daripada keluasan tanah negeri.

Iklan

Mengambil contoh di Sabak Bernam, Suee Lim memberitahu, daerah itu mempunyai kawasan hutan seluas 40,794 hektar.

Kata beliau, berdasarkan Kajian Rancangan Tempatan Majlis Daerah Sabak Bernam (MDSB) 2025 hingga 2035, kawasan hutan itu dipelihara dan dikawal selia dengan sokongan Jabatan Perhutanan Negeri Selangor (JPNS) yang berperanan penting dalam memastikan kelestarian sumber alam dan biodiversiti.

"Di samping kawasan hutan, kawasan pesisiran Selat Melaka dari Pantai Redang sehingga muara Sungai Bernam mempunyai keluasan dianggarkan 27,260 hektar.

"Semua kawasan ini menyumbang kepada keindahan alam sekitar, menawarkan potensi eko-pelancongan yang dapat menarik pelancong tempatan dan antarabangsa seterusnya menjana pendapatan kepada penduduk setempat," tambah beliau.

Mengulas mengenai karnival itu, Suee Lim berkata, program itu menjadi pembuka tirai bagi Tahun Melawat Selangor 2025.

Katanya, kerajaan negeri mengambil peluang untuk mempergiatkan lagi usaha-usaha promosi serta pembangunan infrastruktur pelancongan di Sabak Bernam.

"Saya yakin projek-projek yang dirancang di bawah SABDA (Projek Pembangunan Kawasan Sabak Bernam) akan menjadi pemangkin kepada lonjakan jumlah pelancong ke daerah ini.

"Karnival Ban Canal lebih daripada sekadar acara tahunan, ia adalah platform untuk menyatukan komuniti Sabak Bernam dari pelbagai lapisan masyarakat.

"Karnival ini membawa bersama pelbagai kaum, budaya dan latar belakang untuk sama-sama meraikan keunikan daerah ini," ujar beliau.