SHAH ALAM - Kekalahan dan kegagalan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) menubuhkan kerajaan bukan suatu pengakhiran kepada parti tersebut.
Naib Presidennya, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, sebaliknya ia merupakan peluang untuk menyusun strategi baharu dan membaiki kelemahan parti itu.
"Kegagalan ini bukan pengakhiran untuk kita tetapi peluang untuk kita susun strategi baharu supaya kita boleh bangkit dengan kekuatan yang lebih besar.
"Jika kita gagal untuk bersatu, mana mungkin parti ini mampu terbang tinggi dan mencapai segala cita-cita yang kita hasratkan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap semasa berucap ucapan penangguhan Perhimpunan Agung Tahunan (PAT) Bersatu yang berlangsung di Pusat Konvensyen Ideal (IDCC) di sini, pada Ahad.
Hadir sama, Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin, Timbalan Presiden, Datuk Seri Hamzah Zainudin serta kepimpinan tertinggi parti itu.
Tambah Ahmad Faizal, perbezaan pandangan dalam kalangan ahli parti sepatutnya menjadi kekuatan untuk menghasilkan keputusan terbaik.
"Jangan biarkan perbezaan pandangan dalam kalangan kita melemahkan kita tetapi kekuatan untuk hasilkan keputusan yang terbaik.
"Jadikan kesatuan ini sebagai asas perjuangan,” ujarnya.