KUANTAN - Penduduk di kawasan berisiko di negeri ini diminta bersiap sedia bagi menghadapi sebarang kemungkinan berlakunya bencana banjir.
Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, ia susulan bencana banjir yang kembali melanda negeri ini membabitkan daerah Raub, Lipis dan Jerantut.
Menurutnya, mangsa yang terlibat diharap bersabar dan terus berlindung di pusat pemindahan sementara (PPS) selagi mana diarahkan pihak berkuasa.
"Terus patuh kepada arahan pihak berkuasa dan pastikan diri dan keluarga berada dalam keadaan yang selamat," ujarnya melalui hantaran di Facebooknya pada Ahad.
Katanya, hujan berterusan beberapa jam bermula jam 8 malam pada Sabtu hingga 3 pagi tadi.
"Tiga PPS terbabit di Balai Raya Kampung Sempadan menempatkan 24 mangsa, Sekolah Kebangsaan (SK) Kampung Baharu(26) dan SK Batu Balai(16)," katanya.
Dalam pada itu, menerusi portal Info Bencana Banjir Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) setakat jam 1.14 tengah hari, Pahang mencatatkan 976 mangsa terdiri 374 keluarga membabitkan 24 PPS telah dibuka setakat ini.
Selain Jerantut, Raub terus mencatatkan jumlah tertinggi iaitu 891 orang manakala seramai 15 orang di Lipis ditempatkan di SK Jerangsang.