ISKANDAR PUTERI - Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail berkenan untuk menjadikan Johor sebagai tuan rumah bagi acara sukan bola sepak pada temasya Sukan SEA 2027.
Exco Belia dan Sukan, Pembangunan Usahawan dan Koperasi negeri, Mohd Hairi Mad Shah berkata, titah perkenan baginda disampaikan semasa sesi menghadap pada Khamis lalu.
"Tunku Mahkota Ismail perkenan Johor menjadi tuan rumah acara bola sepak pada Sukan SEA 2027.
"Atas perkenan Pemangku Sultan Johor, saya menjunjung titah dan menjunjung kasih atas kepercayaan ini.
"Saya dan pasukan akan menghantar permohonan rasmi kepada Kementerian Belia dan Sukan (KBS) agar acara bola sepak dipertandingkan di Johor pada Sukan SEA 2027," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar di luar persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor di Kota Iskandar, di sini, pada Ahad.
Hairi yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Larkin, menambah berkaitan lokasi dan perincian kos, ianya akan ditetapkan selepas Mesyuarat di peringkat Sukan Negeri Johor (MSN) dan pihak Sekteriat Sukan SEA 2027.
Sebelum ini, Mohd Hairi memaklumkan pihaknya mencadangkan beberapa stadium sebagai lokasi acara sukan berkenaan termasuklah Stadium Sultan Ibrahim (SSI).
Beliau dilaporkan berkata, empat lokasi yang dikenal pasti termasuk SSI: Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin; Stadium Bola Sepak Mount Austin dan Stadium Majlis Bandaraya Pasir Gudang.
Pada Sabtu, Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh, menyatakan Johor sebagai pilihan terbaik untuk menjadi penganjur bersama Sukan SEA 2027 bagi sukan bola sepak.
Beliau menjelaskan bahawa Johor mempunyai kelebihan dengan fasiliti moden dan berkelas antarabangsa, menjadikannya sesuai sebagai venue untuk sukan bola sepak.