Agrobank bantu perkasa usahawan tempatan ceburi bidang perniagaan

Iklan
Tengku Ahmad Badli bergambar bersama 50 syarikat di empat negeri utara iaitu Perlis, Kedah, Pulau Pinang dan Perak yang telah menamatkan Program AUM bagi tahun lalu.

SEBERANG JAYA - Sebanyak 50 syarikat di empat negeri utara iaitu Perlis, Kedah, Pulau Pinang dan Perak telah menamatkan Program Agrobank Upward Migration (AUM) bagi tahun lalu.

Ia merupakan program bimbingan perniagaan kendalian Agrobank Centre of Excellence (ACE).

Iklan
Iklan

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Tengku Ahmad Badli Shah Raja Husssin berkata, Agrobank dalam usaha memperkasakan usahawan tempatan yang menceburi bidang perniagaan kecil, mikro dan sederhana melalui program berkenaan.

Menurutnya, inisiatif itu bertujuan membantu usahawan mengembangkan perniagaan dan memperkukuh ekonomi mereka, terutamanya dalam industri agrikultur.

Iklan

"Sebagai pengiktirafan terhadap usahawan yang telah menamatkan Program AUM, Agrobank telah menganjurkan Majlis Aspirasi Kecemerlangan yang melibatkan usahawan di bawah penyeliaan Wilayah Ekonomi Koridor Utara (NCER).

"Majlis ini meraikan lima syarikat yang berjaya menonjolkan pencapaian cemerlang dalam kategori seperti peningkatan jualan, pengembangan perniagaan, penambahan pekerjaan, penambahan kapasiti teknologi dan penambahan kapasiti pembiayaan," katanya ketika ditemui di Majlis Aspirasi Kecemerlangan Perniagaan Peserta AUM 2023 (Utara) di Hotel Sunway di sini pada Ahad.

Iklan

Tambah beliau, Agrobank menyasarkan seramai 200 usahawan di seluruh negara menyertai program AUM pada tahun ini.

Mohd Shamil (kanan) bersama bapanya, Zulkifli Harun menunjukkan sijil penyertaan Program AUM 2023 dan Anugerah Peningkatan Jualan bagi Program AUM 2023.

"Program AUM merupakan program berstruktur selama 12 bulan yang merangkumi sesi latihan kelas secara fizikal atau dalam talian serta sesi bimbingan di premis usahawan.

"Modul yang disediakan termasuk Seni Urus Kewangan, Pemasaran, Penetapan Sasaran Syarikat dan Pengurusan Bisnes Gaya Korporat," jelasnya.

Tengku Ahmad Badli berkata, modul pembelajaran ini membuka peluang kepada usahawan kecil, sederhana dan mikro yang berpotensi untuk mengembangkan perniagaan mereka.

"Dalam dunia perniagaan yang kompetitif, mereka dapat mengaplikasikan kemahiran dan ilmu yang diperoleh untuk menjadi usahawan berdaya saing serta memastikan kelangsungan dan pertumbuhan perniagaan yang berterusan.

"Daripada 50 syarikat yang telah menamatkan Program AUM di empat negeri utara ini, 33 syarikat mencatat peningkatan jualan melebihi 20 peratus dan 14 syarikat berjaya mendapatkan pembiayaan tambahan sebanyak RM1.148 juta," katanya.

Tambah beliau, Agrobank komited memajukan ekosistem usahawan tempatan khususnya dalam sektor agromakanan, melalui inisiatif strategik yang bukan sekadar mendorong pertumbuhan ekonomi mikro malah turut menyumbang kepada pembangunan sosioekonomi komuniti dengan mewujudkan peluang pekerjaan.

Sementara itu, seorang usahawan muda yang mengusahakan penjualan ikan, Mohd Shamil Zulkifli, 29 berkata, Program AUM sangat membantu untuk usahawan sepertinya dalam menjalankan perniagaan secara sistematik.

Tambah anak sulung itu, hasil jualan yang diusahakannya meningkat lebih 100 peratus sejak dia menyertai program berkenaan.

"Pada tahun 2023, sehingga September, hasil jualan saya hanya RM2.5 juta namun setelah menyertai program ini, hasil jualan yang diperoleh adalah RM9 juta.

"Peningkatan hasil jualan ini adalah hasil pembelajaran sepanjang tahun yang mana, peserta perlu menghadiri empat kelas dan empat sesi 'face to face' dengan jurulatih.

"Konsep yang diketengahkan dalam program ini amat berkesan kerana jurulatih akan turun padang ke premis untuk membimbing dalam menjalankan perniagaan," katanya.

Jelasnya, usahawan terutamanya anak muda yang ingin menceburkan diri dalam perniagaan terutamanya dalam industri agrikultur dinasihatkan supaya menyertai Program AUM yang disediakan secara percuma.