SHAH ALAM - Pemimpin dan ahli politik yang mendukung nilai-nilai Islam sepatutnya menjadi contoh kepada masyarakat dalam menyampaikan kebenaran dan mempraktikkan prinsip tabayyun sebelum menyebarkan suatu perkara.
Setiausaha Politik Perdana Menteri, Datuk Ahmad Farhan Fauzi berkata, penyebaran berita tidak berasas dan tanpa siasatan berisiko menjejaskan perpaduan dan kestabilan negara.
"Dalam usaha membangunkan negara, politik matang adalah keperluan yang mendesak. Pemimpin parti politik khususnya parti Islam perlu menunjukkan teladan lebih baik berbanding parti lain termasuk parti sekular.
"Fitnah dan serangan peribadi tidak wajar menjadi senjata dalam politik," katanya menerusi kenyataan pada Ahad.
Dalam pada itu beliau berpandangan, perbezaan pandangan dalam politik merupakan perkara biasa, namun perlu dilaksanakan secara matang.
Tegasnya, serangan peribadi terutama dengan menyebarkan fitnah adalah tindakan yang tidak bertanggungjawab dan tidak membawa sebarang manfaat kepada rakyat.
"Kritikan terhadap pemimpin dibenarkan dalam sistem demokrasi, tetapi ia harus tertumpu kepada dasar-dasar yang diperkenalkan, bukannya menyerang peribadi atau menimbulkan tuduhan tidak berasas.
"Sebagai contoh, jika ada pihak yang tidak bersetuju dengan dasar ekonomi yang diperkenalkan Perdana Menteri, ia wajar dibincangkan secara fakta dan ilmiah, bukan mencipta naratif palsu tentang kekayaan peribadi," ujarnya.
Terdahulu Ahmad Farhan menepis dakwaan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Penaga, Mohd Yusni Mat Piah yang menyatakan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim merupakan pemimpin ke-17 terkaya di dunia.
Bagaimanapun, ADUN itu menarik balik kenyataannya namun ia tetap mengundang kecaman pelbagai pihak.
Mengulas lanjut Ahmad Farhan berkata, meskipun berbeza ideologi politik, pembangkang tidak sepatutnya mengamalkan serangan peribadi dan memfitnah individu tertentu.
Menurutnya sebagai Perdana Menteri, Anwar sedang giat berusaha menjalin hubungan baik dengan kerajaan negeri termasuk yang berada di bawah pentadbiran pembangkang.
"Ini adalah langkah bijak untuk memastikan kerjasama antara kerajaan Persekutuan dan negeri dalam memberikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat.
"Namun usaha ini boleh terganggu jika terdapat unsur-unsur fitnah dan politik tidak matang yang cuba memecah-belahkan perpaduan," katanya.