Banjir: Air naik mendadak, stok makanan tenggelam

Iklan
Penduduk dari Kampung Kelaboran keluar dari kawasan banjir menggunakan bot. Gambar kecil: Mariam, Yahya, Ismail

TUMPAT - Keadaan banjir di daerah Tumpat masih buruk dengan keadaan bah mengalir laju dari Sungai Golok di jalan dan beberapa kampung dengan paras air setinggi hingga 1.5 meter.

Tinjauan melibatkan banjir di Kampung Kelaboran, Perumahan Sri Dalam Rhu, Taman Sri Bayu, Kampung Tujuh, Kampung Baru Nelayan dan Jubakar Pantai yang surut sedikit sekitar 0.3 meter kerana cuaca tidak hujan pada Ahad berbanding hari sebelumnya.

Iklan
Iklan
Ismail (kiri) membawa angsa-angsa berpindah ke PPS.

Penduduk, Mariam Mahamod, 67, berkata, banjir di rumahnya yang terletak di Kampung Kelaboran pertama kali berlaku berbanding hanya terkepung dan kawasan sekeliling yang terjejas pada tahun-tahun sebelumnya.

"Bah pada tahun 2014, rumah saya tak kena banjir tetapi kali ini air sangat laju masuk ke dalam rumah bermula pada jam 9 malam, Khamis.

Iklan
Keadaan banjir di perumahan Taman Sri Dalam Rhu menenggelamkan kereta penduduk.

"Perabot dalam rumah semua tenggelam, saya, suami, seorang anak bersama empat cucu hanya sempat mengambil baju untuk berpindah kerana air laju dan semakin tinggi selain perlu berhati-hati menaiki bot untuk pulang sekejap melihat keadaan rumah sekarang,” katanya ketika ditemui di sini pada Ahad.

Seorang lagi penduduk, Yahya Ibrahim, 72, berkata, pada Selasa lalu dia membuat persiapan membeli barangan makanan seperti beras, gula dan minyak masak untuk bekalan musim banjir kerana bimbang jalan tidak dapat dilalui, namun barangan itu musnah terkena banjir.

Iklan

"Kesemua stok makanan termasuk beras berjumlah 30 kilogram tenggelam banjir serta tidak sempat diselamatkan.

Banjir di kawasan Bandar Baharu Tumpat.

"Pada malam Rabu lalu, seekor ular sawa seberat kira-kira 100 kilogram berada di reban ayam milik anak saya menyebabkan kami bimbang keselamatan dalam keadaan banjir ini,” katanya.

Sementara itu, anak Yahya, Ismail, 37, berkata, dia memindahkan tiga ‘Samiyah’ iaitu angsa peliharaannya ke pusat pemindahan sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan Dato’ Bijiwangsa bagi mengelak hanyut atau mati kesejukan dalam banjir.

"Ada lagi 13 ekor ayam di kawasan banjir tetapi reban sudah ditinggikan dan diharap dapat bertahan dalam banjir.

Mariam mendayung bot di kawasan banjir.

"Enam kambing sebelum ini sudah disembelih dan dijual bagi mengelak kerugian pada musim tengkujuh ini,” kata penternak terbabit.

Dalam pada itu, keadaan di Perumahan Sri Dalam Rhu juga masih banjir kira-kira setinggi 0.9 meter dengan dua kereta penduduk tenggelam dan dihanyutkan air.

Selain itu, Bandar Baharu Tumpat juga dinaiki air di sesetengah tempat setinggi kira-kira 0.3 meter.