BUKIT MERTAJAM - Seorang operator kilang sengaja 'cari penyakit' apabila membuat laporan palsu kononnya dia disamun dua lelaki pagi tadi.
Bagaimanapun tindakan wanita berusia 22 tahun itu terbongkar selepas dia didapati teragak-agak ketika polis memintanya menunjukkan lokasi kejadian.
Ketua Polis Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Nik Ros Azhan Nik Abdul Hamid berkata, wanita itu telah membuat laporan polis pada jam 10 pagi tadi di Balai Polis Kubang Semang mengatakan dia disamun dua lelaki ketika menunggang motosikal.
Menurutnya, wanita itu memberitahu didatangi dua lelaki yang menunggang sebuah motosikal jenis Yamaha Y150 berwarna hitam dari arah belakang di Jalan Permatang Nibong di sini pada jam 6.40 pagi tadi.
"Wanita itu mendakwa dua lelaki berkenaan membunyikan hon dan memintanya memberhentikan motosikalnya lalu mengambil dompet yang diletakkan di dalam raga motosikalnya sebelum melarikan diri.
"Wanita itu juga mendakwa kononnya dia tidak pasti bangsa kedua-dua lelaki berkenaan selain tidak sempat melihat nombor plat motosikal. Susulan kejadian itu, dia mendakwa mengalami kerugian sebanyak RM150 dan kehilangan beberapa dokumen diri," katanya ketika dihubungi Sinar Harian tadi.
Beliau berkata, hasil siasatan lanjut polis mendapati wanita berkenaan pernah membuat tiga laporan polis mengatakan disamun sebelum ini.
"Setelah penelitian dibuat, jalan cerita laporan polis yang dibuat sebelum ini hampir sama. Dia juga teragak-agak ketika diminta menunjukkan lokasi kejadian.
"Wanita itu kemudiannya dibawa semula ke Ibu Pejabat Polis Daerah SPT untuk siasatan lanjut dan dia mengaku membuat laporan polis kerana tidak mahu pergi kerja," katanya.
Menurutnya, polis merampas barangan milik wanita itu yang kononnya disamun termasuk motosikal jenis SYM Sport Rider 125.
Katanya, permohonan tahanan reman ke atas wanita itu yang berasal dari Taman Penanti akan dibuat esok.
Kes disiasat mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan kerana membuat laporan palsu.