KPDN laksana Ops Kesan 3.0 bermula hari ini sejajar pelaksanaan SSPA

Iklan
Armizan (tiga dari kanan) bertanya sesuatu kepada pemilik sebuah kedai runcit pada Sesi Advokasi Berniaga Patuh Kod Etika dan Perundangan (Biz-BERKAT) di sekitar Pusat Bandar Batu 8 dan melancarkan Ops Kesan 3.0 hari ini. Foto Bernama

SANDAKAN - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) melaksanakan Ops Kesan 3.0 bermula hari ini, sejajar dengan pelaksanaan pelarasan gaji penjawat awam melalui Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA).

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, operasi itu bertujuan untuk memantau dan mengekang aktiviti pencatutan dengan menggunakan lima pendekatan iaitu melaksanakan proses pengumpulan data dan harga serta caj perkhidmatan yang bermula sejak 1 Oktober.

Iklan
Iklan

Beliau berkata, data itu akan dijadikan sebagai perbandingan harga sebelum dan selepas pelaksanaan SSPA, mengguna pakai data-data kutipan harga yang dilaksanakan setiap hari oleh pegawai pemantau harga meliputi 480 item sebagai panduan pergerakan harga barang.

"Selain itu, memperkukuh kerjasama dengan agensi-agensi kerajaan berkaitan dan menggalakkan partisipasi awam sejajar dengan pelaksanaan Kita Gempur yang telah dilancarkan di Kota Kinabalu sebelum ini,” katanya kepada pemberita selepas sesi advokasi Berniaga Patuh Kod Etika dan Perundangan (Biz-BERKAT) di sini hari ini.

Iklan

Armizan berkata, KPDN juga menetapkan prosedur operasi standard (SOP) pengurusan aduan berkaitan dengan caj, harga dan bekalan termasuk tindakan susulan penguatkuasaan perlu dijalankan dalam tempoh 24 jam daripada masa aduan diterima.

Beliau berkata, KPDN juga menyediakan saluran aduan untuk membolehkan orang ramai mengemukakan sebarang maklumat melalui saluran Whatsapp 0198488000, portal e-aduan di http://eaduan.kpdn.gov.my, pusat panggilan 1-800-886-800 dan di aplikasi Ez ADU KPDN.

Iklan

Armizan berkata, sepanjang tempoh pengumpulan data Ops Kesan 3.0 itu, sebanyak 2,803 premis telah diperiksa di seluruh negara melibatkan 13,209 item dan premis berkenaan diberikan notis di bawah Seksyen 21 Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011.

"Ops itu dilakukan bagi mengesan pihak yang membuat peningkatan harga dengan tujuan mengaut keuntungan secara berlebihan, sekali gus mengekang aktiviti pencatutan apabila bermulanya kenaikan gaji penjawat awam,” katanya.