PASIR MAS - Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan menganggarkan kerosakan kira-kira RM16 juta hasil pertanian di seluruh negara akibat bencana banjir tahun ini.
Menterinya, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, jumlah kerosakan turut membabitkan padi, sayuran dan perikanan itu mungkin akan meningkat selepas bancian siap sepenuhnya.
Menurutnya, lima jajahan yang terjejas teruk ialah Kota Bharu, Pasir Mas, Tumpat, Bachok dan Pasir Puteh.
"Kementerian berkenaan akan mendapatkan maklumat melalui agensi yang berada di bawah kementerian itu termasuk Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (KADA).
"Kalau boleh kita akan tambah peruntukan baharu bagi membantu memulihkan petani yang terjejas selain pelbagai bantuan disediakan mengikut kadar kerosakan," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melakukan lawatan di Kelantan dan mendengar taklimat banjir pada Ahad.
Hadir sama, Pengurus Besar Kada Mohd Faizul Mustafa dan Pengarah Jabatan Pertanian negeri Kelantan, Norbahani Zakaria.
Mohamad memberitahu, tanaman padi paling terjejas diikuti ternakan, sayuran pemeliharaan ikan.
Jelas beliau lagi, perancangan awal bantuan kepada penanam padi bergantung kepada skim yang ditetapkan mengikut kadar RM1,800 untuk satu hektar bergantung usia padi.
"Padi yang tenggelam kebanyakannya hendak tuai yang mungkin akan mengakibatkan kekurangan beras," katanya.
Bagaimanapun beliau memberitahu, keadaan itu hanya sementara kerana negara masih bergantung pada beras import.
Dalam perkembangan sama Mohamad berkata, seramai 764 pesawah padi di negeri ini mengalami kerugian dianggarkan lebih RM9 juta membabitkan keluasan lebih 1,609 hektar.
Beliau selepas itu meninjau keadaan sawah padi di Bendang Padang Kala dan Pusat Pemindahan Sementara Sekolah Kebangsaan Padang Kala.