PENGENDALI baharu Manchester United, Ruben Amorim akhirnya menikmati kemenangan pertama sebagai ketua jurulatih The Red Devils pada Ahad.
Tambah menarik tiga mata diraih anak buah Amorim hadir di laman keramat Stadium Old Trafford selepas membelasah Everton, 4-0.
Hasrat Amorim untuk meraih tiga mata pertama sebagai pengendali Manchester United sebelum ini terbantut selepas diikat Ipswich Town, 1-1 semasa melakukan kunjungan ke Stadium Portman Road pada 25 November lalu.
Biarpun begitu anak buah Amorim menghadiahkan bekas pengendali kelab liga Portugal, Sporting Lisbon itu kemenangan juga tiga mata pertama di pentas Eropah selepas menjinakkan kelab Norway, Bodo/Glimt 3-2 dalam aksi Liga Europa di Old Trafford pada 29 November lalu.
Gol Marcus Rashford (m-34, m-46) dan Joshua Zirkzee (m-41, m-64) setiap babak sudah cukup membolehkan Manchester United meraih kemenangan kelima musim ini selepas mengharungi 13 perlawanan untuk mengumpul 19 mata.
Sementara itu, kekalahan keenam Everton asuhan Sean Dyche pula menyaksikan The Toffees mengumpul 11 mata selepas mengharungi 13 perlawanan musim ini.
Kemenangan itu juga satu motivasi semangat kepada pemain-pemain Red Devils menjelang kunjungan ke London untuk berdepan Arsenal dalam aksi liga di Stadium Emirates pada Khamis ini.
Arsenal kendalian Mikel Arteta sebelum itu membelasah West Ham United, 5-2 dalam perlawanan yang berlangsung di Stadium London untuk mengumpul 25 mata selepas mengharungi 13 perlawanan.