KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Sebanyak 6,249 atau 21 peratus kehamilan berjaya direkodkan menerusi perkhidmatan rawatan kesuburan atau subfertiliti Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) sejak mula diperkenalkan kira-kira 45 tahun lalu.
Menteri Pembangunan Wanita Keluarga dan Masyarakat (KPWKM), Datuk Seri Nancy Shukri berkata, seramai 29,163 individu menjalani rawatan itu dengan kes baharu dan ulangan diterima LPPKN mencecah 9,000 orang setiap tahun.
Menurutnya, kos rawatan pula sangat berpatutan iaitu 33 hingga 80 peratus lebih rendah berbanding harga ditawarkan di pusat rawatan kesuburan milik swasta.
"Jumlah kehamilan tahun ini adalah seramai 200 orang dan dengan tema #lebihawallebihbaik, LPPKN turut menyediakan Program Bantuan Subsidi IUI pada 2020 hingga 2023 kepada pasangan yang tidak pernah hamil mengikut terma dan syarat kelayakan ditetapkan.
"LPPKN menawarkan harga berpatutan dengan kepakaran setaraf dengan pusat kesuburan swasta,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika sidang akhbar selepas menghadiri Majlis Jalinan Kasih LPPKN dan merasmikan Klinik Fertiliti LPPKN Full Paying Patient (FPP) sempena Ulang Tahun ke-45 Perkhidmatan Subfertiliti LPPKN.
Majlis Jalinan Kasih LPPKN 2024 turut diadakan bagi meraikan anak-anak hasil rawatan perkhidmatan kesuburan di samping mengeratkan hubungan silaturahim antara klien dan anggota LPPKN selain memberi penghargaan kepada semua pihak yang menyokong perkhidmatan Subfertiliti LPPKN.
Turut hadir, Ketua Setiausaha KPWKM, Datuk Dr Maziah Che Yusoff; Pengerusi LPPKN, Datuk Seri Rohani Karim dan Ketua Pengarah LPPKN, Abdul Shukur Abdullah.
Nancy berkata, pencarum Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) juga boleh mengeluarkan wang caruman daripada Akaun 2 untuk tujuan mendapatkan rawatan kesuburan.
"Peratus kejayaan rawatan kesuburan LPPKN adalah setanding dengan kadar kejayaan hamil standard antarabangsa dikeluarkan Fertility Registry of USA.
"Lebih penting, perkhidmatan Subfertiliti di LPPKN menepati maqasid syariah iaitu menjaga nasab keturunan dengan tidak sama sekali menggunakan bank sperma penderma,” ujarnya.
Katanya, Klinik Subfertiliti LPPKN juga menyediakan fasiliti lebih selesa dan terbaik kepada individu yang mendapatkan rawatan di LPPKN.
Tambahnya, melihat kepada keperluan itu juga, kerajaan dalam Rancangan Malaysia ke-12 (RMK12) meluluskan penubuhan Pusat Subfertiliti Negara.
"LPPKN diberi peranan dan tanggungjawab menubuhkan pusat ini yang dijangka siap dan beroperasi sepenuhnya pada tahun 2030.
"Kerajaan amat prihatin kepada keperluan perkhidmatan rawatan kesuburan dalam kalangan rakyat kurang berkemampuan,” katanya.
Jelas Nancy, kos dikenakan ketika rawatan menyebabkan masih ramai lagi pasangan tidak mahu datang mendapatkan rawatan Subfertiliti.
"Saya menyeru semua pihak membantu akses rawatan Subfertiliti dan mencadangkan industri insurans dan takaful mempertimbangkan perlindungan masalah subfertiliti termasuk prosedur IUI kepada pemegang sijil,” katanya.
Reaksi
"Alhamdulillah, terima kasih kepada LPPKN dengan ikhtiar perkhidmatan rawatan subfertiliti, saya mendapat cahaya mata pertama selepas lapan tahun menunggu. Sekarang saya memiliki dua anak.”- Penjawat Awam, Ibrahim Daud, 41
"Sekarang anak perempuan saya berusia tujuh tahun, rawatan IVF membolehkan saya mendapat cahaya mata selepas lima tahun menunggu dan terbukti rawatan Subfertiliti LPPKN berkesan dan banyak membantu saya dan suami dengan kos berpatutan.”- Penjawat Awam, Farah Hana Hassan, 35