DAMSYIK - Perang saudara yang berlarutan selama 13 tahun di Syria kembali mendapat perhatian komuniti antarabangsa selepas kumpulan pemberontak, Hayat Tahrir al-Sham atau HTS bersama sekutunya melancarkan serangan mengejut di Aleppo.
Konflik negara itu semakin meningkat setelah HTS menawan bandar kedua terbesar di negara itu.
Ia adalah pencerobohan pertama ke atas Aleppo sejak 2016 setelah kempen serangan udara dilancarkan tentera rejim Presiden Bashar al-Assad yang turut disokong Rusia untuk merampas semula bandar tersebut.
Campur tangan Moscow dan sekutu lain membolehkan Assad kekal memegang kuasa di Damsyik meskipun ramai pemimpin kuku besi seangkatan beliau digulingkan ketika Arab Spring pada 2011.
Pertempuran sengit berterusan pada Sabtu dan HTS terus mara termasuk menawan bandar Marrat al Numan di wilayah Idlib yang dijangka memberi tamparan hebat buat Assad.
Pasukan tentera kerajaan juga memaklumkan mereka terpaksa berundur buat sementara dari Aleppo kononnya untuk membuat persediaan bagi melancarkan serangan balas.
Damsyik menjangkakan ketibaan 'mesin perang' baharu dihantar Moscow di pangkalan tentera Hmeimim berhampiran bandar Latakia dalam tempoh 72 minggu akan datang.
Bagi menyokong tentera rejim Assad, jet pejuang Rusia dilaporkan turut mengebom kedudukan puak pemberontak di Aleppo, sekali gus menandakan perang baharu bakal meletus di Syria yang dikhuatiri memburukkan lagi situasi di Asia Barat.
Bekas Duta Amerika Syarikat (AS) ke Syria, Robert Ford percaya HTS mengambil peluang untuk mara setelah pelaksanaan gencatan senjata di Lubnan.
Sebelum ini, Washington dan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menyenaraikan puak penentang HTS tersebut sebagai 'pertubuhan pengganas'.
Pemimpinnya, Abu Mohammed al-Golani muncul sebagai ketua cawangan al-Qaeda di Damsyik ketika fasa awal perang saudara meletus pada 2011.
Perjuangannya bagaimanapun sukar diterima puak penentang lain yang menolak elemen 'keganasan ekstrem' untuk menewaskan Assad.
Negara antarabangsa khuatir
Susulan ancaman peperangan baharu itu, Menteri Luar Rusia, Sergei Lavrov bertindak menghubungi rakan sejawatannya di Iran dan Turkiye untuk menzahirkan kebimbangan terhadap peningkatan berbahaya di Damsyik, sehari selepas Moscow mengumumkan tindakan ketenteraan terhadap puak pemberontak berkenaan.
"Beliau bersama Ankara sepakat tentang keperluan bagi tindakan penyelarasan bersama untuk menstabilkan situasi. Lavrov dan Menteri Luar Iran, Abbas Araghchi juga menyokong penuh kedaulatan Syria,” jelas Kementerian Luar di Moscow dalam satu kenyataan.
Sementara itu, Perancis menggesa pihak bertelagah supaya melindungi orang awam di Aleppo yang kini menjadi medan pertempuran.
"Kami akan terus mengikuti perkembangan konflik di bandar itu yang telah meragut hampir 300 nyawa dalam tempoh tiga hari,” kata Kementerian Luar di Paris.
Beberapa rangkaian media melaporkan HTS turut menguasai Lapangan Terbang Antarabangsa Aleppo dan bandar strategik Khan Sheikhoun di selatan Idlib serta mula mara ke Hama serta menawan enam bandar dan perkampungan luar bandar termasuk Morek yang terletak di sepanjang lebuh raya penting menghubungkan tengah Syria ke bahagian utara.
Serangan mengejut itu dilancarkan pada Rabu lalu bermula dari kubu kuat penentang di barat laut Syria sebelum menuju ke Aleppo.
Dalam tempoh 48 jam, ia telah menguasai beberapa pangkalan tentera, puluhan bandar dan perkampungan serta bahagian lebuh raya strategik M5, sekali gus menyekat laluan bekalan ke ibu kota. - Agensi
INFO
- Aleppo merupakan laluan perdagangan dan empayar selama ribuan tahun. Bandar itu adalah salah satu daripada pusat perdagangan dan budaya di Asia Barat.
- Ia berpopulasi kira-kira 2.3 juta orang sebelum Arab Spring tercetus pada 2011. Pada 2012, puak pemberontak merampas bahagian timur bandar itu dan menjadi simbol kemenangan paling membanggakan kumpulan penentang Assad.
- Pada 2016, tentera kerajaan yang disokong serangan udara Rusia menguasai semula bandar itu hingga mencetuskan peperangan berskala besar. Puak pemberontak yang 'dikepung' dan dihujani bom bertalu-talu akur menyerahkan Aleppo kepada Assad pada tahun sama.
- Pada awal 2024, Israel membedil depot senjata milik pejuang Hizbullah dan tentera kerajaan.