Beras tempatan dijangka berlaku lambakan

Iklan
Penurunan harga jualan beras putih import dibimbangi akan menyebabkan berlaku lambakan beras tempatan.

ALOR SETAR - Penurunan harga jualan beras putih import dibimbangi menyebabkan berlaku lambakan beras tempatan.

Pengerusi Pertubuhan Persaudaraan Pesawah Malaysia (PeSAWAH), Abdul Rashid Yob berkata, penurunan harga juga dijangka menyebabkan stok beras tempatan sedia ada di gudang tidak dapat dijual.

Iklan
Iklan

Menurutnya, ia akan menyebabkan pesawah mengalami kerugian kerana terpaksa menjual pada harga lebih rendah berbanding kos sebenar yang lebih tinggi.

"Harga jualan beras putih import yang diturunkan itu mungkin memberi kebaikan kepada pengguna, tetapi pengilang, pesawah dan petani menerima kesan sebaliknya.

Iklan

"Ini kerana kami (pesawah) menjual beras tempatan pada harga siling RM1,800, apabila beras import berlaku penurunan, ia akan beri kesan kepada beras tempatan,” katanya kepada Sinar Harian pada Ahad.

Pada Jumaat, Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu memaklumkan, Padiberas Nasional Bhd (Bernas) bersetuju menurunkan harga jualan beras putih import di pintu gudang Bernas di Semenanjung Malaysia daripada RM3,000 per tan kepada RM2,800 per tan berkuat kuasa pada Ahad.

Iklan

Beliau berkata, persetujuan itu dicapai hasil perbincangan antara Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan dengan Bernas baru-baru ini.

Mengulas lanjut, Abdul Rashid berkata, pengurangan harga itu tidak seimbang dengan harga belian padi, menyebabkan pesawah berdepan kerugian.

"Pada masa ini pesawah terpaksa keluarkan kos tinggi untuk tanaman padi, iaitu melebihi RM5,500 untuk satu hektar.

"Harga benih masih kekal sama sedangkan sepatutnya harga perlu diturunkan berdasarkan harga semasa.

"Mengapa kerajaan tidak lihat harga benih kerana kosnya tinggi. Harga beras ketika ini RM2.60 sekilogram, harga lantai benih padi adalah RM1,300 dan ia tidak relevan,” katanya.

Menurutnya, untuk keseimbangan harga, perlu mengambil kira tiga faktor iaitu harga belian padi, benih dan beras.

"Menurunkan harga beras putih import bukan penyelesaian kepada masalah beras tempatan, malah ia akan terus memberikan tekanan kepada pesawah,” katanya.

Abdul Rashid turut mencadangkan agar kerajaan mengapungkan harga beras mengikut harga semasa sekiranya tiada penyelesaian yang bersesuaian.

Tambahnya, pesawah di Perak sudah mengalami kerugian apabila kilang menerima harga RM1,400 per tan berbanding RM1,520 sebelum ini, selepas pengumuman penurunan harga berkuat kuasa.