BANJIR yang melanda beberapa negeri di negara ini memberi kesan besar kepada kehidupan seharian rakyat Malaysia.
Antara mereka yang terkesan adalah pelajar Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang terpaksa menghadapi pelbagai cabaran untuk menduduki Ujian Bertutur Bahasa Melayu yang bermula hari ini.
Peperiksaan tersebut diteruskan walaupun terdapat 5,377 calon dikenal pasti terjejas banjir di tiga negeri iaitu Kelantan, Terengganu dan Kedah.
Menurut Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek, keputusan itu dibuat selepas mengambil kira nasihat Agensi Pengurusan Bencana Negara
(Nadma) dan ramalan Jabatan Meteorologi Malaysia mengenai situasi Monsun Timur Laut yang berkemungkinan berpanjangan sehingga Februari 2025.
Gerakan memindahkan calon-calon terkesan banjir dijalankan dengan bantuan Nadma, Angkatan Tentera Malaysia dan Angkatan Pertahanan Awam pada Ahad bagi memastikan mereka dapat tinggal di asrama yang kondusif serta meneruskan ulang kaji persiapan SPM mereka.
Dalam menghadapi cabaran getir ini, guru-guru dan ibu bapa adalah golongan yang memainkan peranan sangat penting.
Mereka perlu memberi sokongan moral dan fizikal kepada pelajar yang terkesan oleh banjir.
Ada guru yang menyediakan tempat berteduh bagi pelajar yang tidak dapat pulang ke rumah, sementara ibu bapa berusaha menghantar anak-anak mereka ke sekolah walaupun terpaksa berdepan dengan kesulitan perjalanan.
Seperti seorang calon SPM, Nur Ariana Mohd Rozizi berasa sebak kerana akhirnya berjaya tiba di kawasan selamat selepas dia dan ibunya berusaha selama dua hari untuk meredah arus deras di Gual Machang, Rantau Panjang, Kelantan untuk menduduki ujian berkenaan.
Kepada yang masih berusaha, kita harus memberi penghargaan atas semangat dan ketabahan mereka.
Semoga kejayaan menanti mereka di hujung jalan sekali gus menjadi inspirasi kepada generasi akan datang.