SHAH ALAM - Agensi penguatkuasaan di Malaysia perlu lebih terbuka untuk berkongsi maklumat dan bekerjasama dengan negara luar sebagai usaha menangani jenayah dalam media sosial.
Pakar keselamatan siber, Fong Choong Fook berkata, usaha itu lebih efektif melalui perkongsian risikan, data terkini dan informasi berkaitan antara Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) bersama agensi asing untuk mengesan penjenayah.
"Sebenarnya (contoh) di Myanmar, kerajaan mereka bekerja sangat rapat dengan kerajaan asing seperti China.
"Pegawai China diberi kuasa penguatkuasaan untuk bekerjasama dengan agensi undang-undang tempatan, sebab itu mereka berjaya menjejaki penjenayah di media sosial dengan berkesan melalui perkongsian butiran perisikan."Jika Malaysia mahu lakukan perkara sama, kita mesti terbuka untuk mengadakan kerjasama dengan kuasa asing kerana ramai penjenayah warganegara Nigeria, China dan sebagainya sudah beroperasi di negara ini,” katanya ketika dihubungi.
Sebelum ini Sinar Ahad melaporkan, platform media sosial kini menjadi hab pasaran haram bagi menjual dadah, barangan palsu, pemerdagangan manusia dan penipuan identiti.
Malah penganalisis jenayah, Datuk Seri Dr Akhbar Satar berkata, ramai rakyat Malaysia telah menjadi mangsa di sebalik kegiatan jenayah yang bersarang di sebalik media sosial dan juga kewujudan darkweb.Dalam pada itu Choong Fook berpandangan, undang- undang pelesenan bagi platform media sosial yang bakal berkuat kuasa pada 1 Januari depan merupakan antara langkah proaktif kerajaan bagi melindungi kepentingan dan keselamatan pengguna.
Menurutnya, penguatkuasaan itu memerlukan pematuhan ketat daripada penyedia perkhidmatan media sosial seperti Facebook, Instagram dan TikTok.
"Untuk media sosial, ia memerlukan usaha berterusan dan tidak boleh bergerak secara solo.
"Kerjasama adalah kata kunci dan penguatkuasaan lesen untuk media sosial membolehkan agensi penguat kuasa bekerja lebih rapat dan efisien,” ujarnya.
Terdahulu SKMM memaklumkan, semua perkhidmatan media sosial dan pesanan Internet yang ketika ini mempunyai sekurang-kurangnya lapan juta pengguna di negara ini perlu memohon Lesen Kelas Pemberi Perkhidmatan Aplikasi (ASP(C)) di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588).
Platform yang gagal mendapatkan lesen boleh dikenakan tindakan undang-undang termasuk kompaun sehingga RM250,000 atau kesnya dirujuk ke mahkamah, di mana dendanya boleh mencecah sehingga RM500,000 atau penjara lima tahun.