'Buktikan kemampuan, tutup mulut netizen'

Iklan
Sergio Aguero (kanan) tersenarai dalam skuad Harimau Malaya pada Piala ASEAN kali ini.

SKUAD bola sepak Harimau Malaya perlu memastikan mereka dapat melangkah sejauh yang boleh dalam saingan Piala ASEAN kali ini walaupun tidak diberikan harapan tinggi dengan barisan pemain yang ada.

Jurulatih berpengalaman, Irfan bakti Abu Salim berkata, skuad kendalian Pau Marti Vicente itu harus membuktikan bahawa mereka juga mampu memberikan saingan biarpun tanpa ramai pemain utama.

Iklan
Iklan

"Sememangnya jika dilihat kepada senarai pemain, kita tidak dapat pemain utama yang sering diturunkan dalam perlawanan persahabatan Tier 1.

"Namun, bagi saya pemain yang dipanggil kali ini kena buktikan bahawa kehadiran mereka juga mampu menggegarkan kejohanan ini di sebalik ramai yang memandang rendah.

Iklan

"Tak salah juga untuk Harimau Malaya meletakkan sasaran mara ke perlawanan akhir dan saya percaya pemain yang ada ini mampu untuk mencipta kejutan,” katanya kepada Sukan Sinar.

Beberapa pemain utama terutama dari Johor Darul Ta'zim (JDT), Selangor FC dan Terengganu FC tidak dilepaskan oleh kelab masing-masing pada Piala ASEAN yang akan bermula 8 Disember ini.

Iklan

Ia selepas kejohanan tersebut berlangsung di luar kalendar perlawanan antarabangsa Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) selain Liga Malaysia juga diteruskan seperti dijadualkan sekali gus menyukarkan kelab melepaskan pemain.

Saingan kali ini menyaksikan Malaysia diundi dalam Kumpulan A bersama-sama juara bertahan, Thailand, Singapura, Kemboja dan Timor-Leste.

Kumpulan B pula diisi naib juara edisi terdahulu, Vietnam, Indonesia, Filipina, Myanmar dan Laos dengan dua pasukan teratas setiap kumpulan ke separuh akhir.

Harimau Malaya akan menghadapi perlawanan pertama Kumpulan A menentang Kemboja di Stadium Olimpik, Phnom Penh pada 8 Disember sebelum melayan kunjungan Timor-Leste di Stadium Nasional, Bukit Jalil tiga hari kemudian.

Selepas itu, skuad negara akan terbang ke Bangkok untuk berdepan Thailand pada perlawanan ketiga pada 14 Disember dan menamatkan aksi kumpulan menentang Singapura di Stadium Nasional Bukit Jalil pada 20 Disember.