KEPUTUSAN kerajaan mengenakan hukuman tegas terhadap lima pegawai kadet Akademi Latihan Ketenteraan (ALK) Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) yang terlibat dalam kes buli sudah pasti ditunggu-tunggu.
Kelima-lima mereka bukan sahaja dibuang daripada perkhidmatan dalam Angkatan Tentera Malaysia (ATM), malah perlu membayar ganti rugi kepada kerajaan.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin pada Rabu dilaporkan berkata, keputusan berkenaan dibuat selepas Mesyuarat Majlis Angkatan Tentera (MAT) Siri 623 meluluskan syor ke atas lima pegawai kadet ALK UPNM yang terlibat dalam tiga kes penganiayaan terhadap pegawai kadet lain.
Ketetapan yang dibuat itu mencerminkan pendirian tegas kerajaan menerusi ATM terhadap kes buli yang kian membarah ketika ini terutama selepas kes kematian Pegawai Kadet Laut UPNM, Allahyarham Zulfarhan Osman Zulkarnain pada tahun 2017.
Tindakan mewajibkan kesemua lima penuntut terbabit membayar ganti rugi yang melibatkan kos perbelanjaan sepanjang tempoh pengajian di UPNM menghantar mesej jelas bahawa perlakuan buli tidak boleh diterima dalam mana-mana organisasi, lebih-lebih lagi badan keselamatan negara.
Ia juga mencerminkan keperluan untuk memastikan setiap individu yang diberi peluang mendapat pendidikan ketenteraan memahami tanggungjawab mereka terhadap negara dan organisasi.
Kita berharap keputusan itu tidak hanya bersifat hukuman tetapi untuk mengingatkan pelatih lain mengenai pentingnya menjaga kepercayaan dan integriti yang telah diberikan kepada mereka.
Kes buli yang masih berterusan berlaku sehingga kini bukan sahaja menjejaskan mangsa tetapi juga mencemar reputasi institusi yang seharusnya menjadi tempat melatih pemimpin masa depan.
Insiden itu menimbulkan persoalan sejauh mana keberkesanan pengawasan dan penguatkuasaan disiplin dalam ALK.
Kementerian Pertahanan sebelum ini turut meminta UPNM memastikan kes buli membabitkan Allahyarham Zulfarhan yang menyebabkan kematian tidak berulang pada masa hadapan.
Mohamed Khaled berkata, walaupun kawal selia universiti itu bukan di bawah bidang kuasa kementeriannya, UPNM bertanggungjawab mengeluarkan graduan tentera dan awam untuk keperluan pertahanan negara.
Pada 1 November lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim juga menegaskan bahawa budaya toleransi terhadap buli tidak boleh diterima dan perlu ditolak sepenuhnya oleh masyarakat.
Beliau menekankan bahawa perlakuan buli dalam masyarakat wujud kerana adanya budaya yang memaklumi dan membenarkan tindakan tersebut.
Oleh itu, langkah tegas sebegini penting untuk memulihkan keyakinan masyarakat terhadap ATM dan institusi seperti UPNM. Bagi mangsa buli pula, keputusan itu memberi keadilan kepada mereka serta memberi dorongan kepada mana-mana individu untuk melaporkan kejadian serupa pada masa akan datang.
Perkembangan terbaharu itu juga menunjukkan pembaharuan dalam sistem latihan ketenteraan, namun pada masa sama penulis mencadangkan supaya ATM dan UPNM memperkukuhkan lagi program kesedaran mengenai kesan buli, memperkenalkan mekanisme pelaporan yang selamat serta meningkatkan pengawasan terhadap aktiviti pelatih.
Sokongan psikologi dan bimbingan harus diberi keutamaan bagi mencegah perlakuan buli berulang serta kesan emosi berlanjutan kepada mangsa.
ATM perlu terus membangunkan pendekatan pendidikan yang menekankan sikap belas kasihan dan empati selain beretika dan cekap.
Melatih pemimpin yang mempunyai semua nilai-nilai itu adalah matlamat utama yang tidak boleh dikompromi oleh mana-mana institusi ketenteraan mahu pun institusi pendidikan lain.
*Raiham Mohd Sanusi ialah wartawan meja am Sinar Harian