Jangan kelirukan pengguna antara ikan toman dan haruan

Iklan
Pihak pasar raya diharap tidak mengelirukan orang ramai dengan kedua-dua spesies ikan tersebut yang seakan-akan sama. Gambar hiasan

SEMALAM Merak Jalanan berkesempatan untuk membeli-belah di sebuah pasar raya terkemuka di Lembah Klang.

Sambil mencuci mata melihat pelbagai barang-barang mentah, Merak Jalanan terkejut melihat ikan toman sebesar betis lelaki dewasa dijual di pasar raya tersebut.

Iklan
Iklan

Selalunya akuarium yang terdapat di dalam pasar raya itu menempatkan ikan tilapia merah, ketam nipah dan juga haruan, tetapi kali ini yang terdapat dalam akuarium tersebut ialah ikan toman.

Merak Jalanan memang kenal sangat beza antara ikan haruan dan ikan toman walaupun nama Inggeris mereka sama iaitu snakehead. Cuma kedua-duanya ada dari spesies yang berlainan.

Iklan

Jika di Thailand, ikan toman memang makanan yang cukup popular dalam kalangan masyarakat Siam, tetapi di Malaysia sebaliknya dan lebih gemar dengan ikan haruan.

Cuma yang mengejutkan Merak Jalanan lagi ialah harga yang dipamerkan ialah RM45 sekilogram dan pada tanda harga ditulis ikan haruan.

Iklan

Sejak sekian lama, memang harga ikan haruan sangat tinggi di pasaran kerana ia tidak banyak diternak secara komersial. Begitu juga dengan ikan toman kerana kedua-dua spesies ini memang terkenal sebagai ikan pemangsa dan ganas.

Tetapi disebabkan ikan toman bukanlah spesies yang digemari rakyat Malaysia jadi harganya di pasaran tidaklah tinggi berbanding ikan haruan yang ada permintaan besar.

Cuma Merak Jalanan berharap pasar raya itu tidak cuba untuk mengelirukan orang ramai dengan kedua-dua spesies ikan tersebut yang seakan-akan sama.

Ini kerana, berdasarkan satu laporan akhbar pada tahun lalu, harga pasaran ikan toman adalah sekitar RM6 hingga RM9 bagi ikan toman mati dan RM15 bagi yang masih hidup.

Tak tahulah kalau-kalau pihak pasar raya itu sendiri pun tak kenal mana satu ikan haruan, mana satu ikan toman.