BATU PAHAT - Polis menahan seorang lelaki yang disyaki terlibat dalam kejadian curi duit tabung surau termasuk pecah rumah di sekitar kawasan Semerah dan Parit Sulong di sini, 23 November lalu.
Menurut Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Shahrulanuar Mushaddat Abdullah Sani, hasil rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang dimuat naik melalui aplikasi TikTok, kejadian sekitar jam 1.49 pagi apabila seorang lelaki didapati berlegar di dalam sebuah surau sebelum bertindak mengumpil tabung derma.
Iklan
Iklan
Malah katanya, pihaknya turut menerima empat laporan polis berhubung kejadian berkenaan daripada pihak pengurusan surau dari kawasan Semerah dan Parit Yaani.
"Bertindak atas maklumat dan hasil risikan, pada 25 November lalu, sekitar jam 12 tengah hari polis berjaya menahan suspek yang merupakan seorang lelaki tempatan berusia 35 tahun di sekitar kawasan Parit Sulong.
"Selain itu, polis turut berjaya merampas pakaian yang digunakan suspek ketika melakukan kejadian sebagaimana dalam rakaman CCTV yang tular,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan dan suspek masih dalam tahanan reman sehingga 3 Disember 2024.
Polis turut memohon kerjasama orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian ini agar tampil membantu siasatan polis atau menyalurkan maklumat berkenaan ke mana-mana balai polis berhampiran atau melalui hotline Polis Kontinjen Johor di talian 07-2212999 atau melalui hotline Polis Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Batu Pahat di talian 07-4343999.