Peruntukan tambahan banjir RM50 juta: PM arah tindakan susulan

Iklan
Anwar (tengah) semasa melakukan lawatan di PPS Sekolah Kebangsaan Telaga Papan, Bandar Permaisuri pada Ahad. Foto Bernama

PUTRAJAYA - [DIKEMAS KINI] Perdana Menteri mengarahkan satu tindakan susulan dibuat pada pertengahan bulan ini berikutan kerajaan telah memberi peruntukan tambahan untuk membaiki infrastruktur yang rosak akibat banjir.

Berucap di Perhimpunan Bulanan bersama warga Jabatan Perdana Menteri (JPM), Datuk Seri Anwar turut berpuas hati dengan kesiapsiagaan diatur oleh Jawatankuasa Pengurusan Bencana Pusat yang dipengerusi Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Iklan
Iklan

"Saya bersyukur dan bangga dengan khidmat yang ditunjukkan oleh agensi terlibat seperti Majlis Keselamatan Negara (MKN), Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma), Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan seluruh jentera," katanya pada Isnin.

Terdahulu Anwar menerusi lawatannya ke Setiu, Terengganu pada Ahad mengumumkan peruntukan tambahan segera RM50 juta untuk disalurkan kepada Kelantan dan Terengganu susulan banjir teruk melanda negeri tersebut.

Iklan

Beliau yang juga Menteri Kewangan berkata peruntukan yang disalurkan menerusi Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) itu akan digunakan bagi membaiki infrastruktur asas seperti jalan dan pembentung, termasuk menaikkan aras jalan di Hulu Besut.

"Saya lihat lori-lori makanan dari Pulau Pinang, kebetulan saya jumpa seorang dari Bukit Mertajam.

Iklan

"Dia bukan NGO tetapi hanya urus 10 lori ke Kelantan dan menyerahkan kepada ATM untuk diselaras.

"Kebetulan dari Pulau Pinang itu Cina, jadi ini dia fikir masalah bersama," katanya.

Anwar berkata, sektor swasta juga digesa untuk mengambil bahagian dalam membantu rakyat terkesan akibat banjir sama ada menyediakan dana atau mempersiapkan jentera.

"Ada baiknya dalam keadaan sekarang bukan saja dana, tetapi menyiapkan jentera agar setiap syarikat-syarikat swasta dari Kuala Lumpur, Ipoh, Pulau Pinang turun juga ke gelanggang.

"Mereka akan melihat masalah kehidupan rakyat, kemiskinan, kesusahan rakyat yang dihadapi dengan penuh kesabaran," katanya.

Monsun Timur Laut (MTL) yang bermula November lalu menyaksikan sembilan negeri terjejas akibat banjir.

Portal Info Bencana Banjir Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) merekodkan 135,344 orang dari 40,910 keluarga berlindung di 631 pusat penempatan sementara (PPS) setakat jam 9.47 pagi.