PENGENDALI Manchester City, Pep Guardiola berkata, dia tidak menjangka respons di Anfield selepas diejek akan dipecat selepas kekalahan 0-2 pasukannya kepada Liverpool.
Guardiola mengangkat enam jari kepada penyokong Anfield menandakan jumlah bilangan kejuaraan Liga Perdana Inggeris (EPL) yang telah dimenanginya di City.
Ia sebagai tindak balas kepada laungan 'anda akan dipecat pada pagi esok' yang dilaungkan oleh penyokong Liverpool pada aksi di Anfield itu.
Ia adalah kekalahan keenam City dalam tujuh perlawanan semua pertandingan dan merupakan rekod terburuk dalam karier pengurusan Guardiola, tetapi dia mendakwa berhak dihormati penyokong Liverpool kerana saingan sengit mereka dalam beberapa musim kebelakangan ini.
"Saya sangat berbangga dengan enam piala EPL saya menentang pasukan (Liverpool) itu dan pasukan sebelumnya (di bawah Jurgen Klopp).
"Saya tidak sangka Anfield mula melaungkan (saya akan dipecat) pada kedudukan 0-2. Mungkin saya layak dipecat dengan keputusan kami! Mungkin saya masih dalam tugas kerana saya memenangi enam EPL dan banyak gelaran.
"Mereka mahu saya dipecat. Saya harap mereka lebih baik. Mengapa mereka tidak melakukannya pada kedudukan 0-1? Mengapa mereka tidak melakukannya musim lalu apabila kami memenangi EPL?
"Mengapa mereka mahu saya dipecat sekarang? Saya tidak menjangkakannya daripada Anfield, untuk kelab lain seperti Brighton saya boleh memahaminya. Mereka tahu kami telah memenangi enam Liga Perdana. Tetapi tidak mengapa, ia adalah sebahagian daripada permainan," katanya kepada The Guardian.
Guardiola mempertahankan prestasi buruk pasukannya di Anfield, dengan alasan pemainnya enggan mengalah tetapi mengakui mereka mencipta sedikit peluang.
"Saya mempunyai jangkaan bahawa dari sini kami boleh mula membina sesuatu.
"Mungkin orang berkata saya berangan, tetapi saya mempunyai perasaan bahawa kekalahan ini kami akan mula membina kembali untuk memenangi perlawanan dan keyakinan," katanya.
Slot tak simpati dengan nasib Guardiola
Sementara itu pengendali Liverpool, Arne Slot tidak rasa simpati terhadap Pep Guardiola selepas pasukannya melakar kemenangan 2-0 ke atas Manchester City pada awal pagi Isnin.
Jaringan awal Cody Gakpo dan sepakan penalti Mohamed Salah pada separuh masa kedua di Anfield menambah derita City yang menghadapi kekalahan keempat berturut-turut dalam EPL.
Kemenangan 2-0 itu berpotensi memberi tamparan hebat kepada harapan City untuk mengekalkan kejuaraan dengan pasukan bimbingan Guardiola itu ketinggalan 11 mata dengan Liverpool dan gagal menang dalam tujuh perlawanan semua pertandingan.
Ia adalah rekod terburuk dalam karier cemerlang Guardiola tetapi memandangkan kejayaan yang telah dicapai Guardiola sebelum ini, Slot menjangkakan dia akan bangkit semula.
"Anda berasa simpati atau empati dengan pengendali yang mendapat keputusan teruk, mereka telah tewas banyak perlawanan atau berada di tangga terbawah liga.
"Tetapi Pep telah memenangi banyak kejuaraan dan sudah banyak kali menunjukkannya. Liga tidak diputuskan pada November atau Disember, jadi tiada siapa yang perlu berasa empati atau kasihan terhadap Pep. Mungkin pengurus lain, tetapi tidak Pep.
"Dia akan dapat membawa City kembali bangkit," katanya.
Liverpool kini mendahului sembilan mata ke atas Arsenal di tempat kedua tetapi Slot yang turut meraih kemenangan penting Liga Juara-Juara ke atas Real Madrid baru-baru ini tidak mahu terlalu gembira.
"Bermain menentang Real Madrid dan Manchester City, pasukan yang pernah dan begitu bagus dengan pengendali yang telah memenangi begitu banyak trofi, ia sentiasa menggembirakan untuk menang.
"Namun, kami tidak mahu terlalu fokus kepada kemenangan ini dan mahu konsisten hingga penghujung musim," katanya.