SHAH ALAM - Kos membaiki sebuah kenderaan yang ditenggelami banjir boleh mencecah sehingga RM30,000 bergantung kepada jenis kerosakan.
Pemilik bengkel kenderaan, Muhammad Shahmi Abdul Latib berkata, kebiasaannya kereta yang mempunyai banyak komponen elektronik akan berisiko mengalami kerosakan lebih teruk.
"Kalau kereta tenggelam penuh melepasi paras bumbung, (kos baiki) boleh cecah RM13,000 ke RM30,000 bergantung kepada jenis dan kerosakan.
"Selalunya kereta lama yang mekanikal bukan elektronik, kos baiki lebih rendah dan bukan semua bahagian akan rosak, biasanya yang terjejas melibatkan komponen elektronik," katanya kepada Sinar Harian pada Ahad.
Menurutnya, kereta itu hanya sekadar boleh dihidupkan dan bergerak, namun bahagian lain seperti radio, tingkap, pengelap tingkap dan pendingin hawa tidak berfungsi.
"Pernah juga saya baiki sebuah kereta jenama sama yang tenggelam separuh badan, kos hanya RM4,000.
"Jadi nasihat saya, kalau kereta ditenggelami air dan sekiranya sempat, cabut terminal bateri dahulu kerana ia punca utama kerosakkan kerana bersambung dengan bahagian elektronik lain.
"Kalau tak sempat cabut, jangan terus hidupkan kereta, terus tunda ke bengkel berhampiran untuk cuci semua bahagian sebelum enjin dihidupkan," ujarnya.
Sementara itu Muhammad Shahmi berkata, mekanik memerlukan tempoh sekurang-kurangnya 14 hari hingga 90 hari untuk membaiki sesebuah kereta yang tenggelam akibat banjir selepas mengambil kira jangkaan kerosakan serta pembersihan.
Jelasnya, tempoh berkenaan dikatakan paling singkat namun masih memerlukan pemeriksaan susulan untuk mengenal pasti sebarang kerosakan lain yang tidak dapat dikesan pada peringkat awal.
"Selalunya lambat dari segi alat ganti dan bajet daripada pemilik.
"Bila pemilik ada bajet, alat ganti pula tiada stok dan begitulah sebaliknya," katanya.