PASIR MAS - [DIKEMAS KINI] Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) akan mempertimbangkan cadangan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dilaksanakan di luar musim tengkujuh.
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek, berkata, pihaknya mengambil perhatian terhadap maklum balas yang diterima berkait jadual SPM pada hujung tahun sekali gus berdepan dengan keadaan cuaca hujan serta banjir.
"Kami akan melihat dan mempertimbangkan cadangan untuk SPM dianjak ke luar musim tengkujuh.
"Ketika ini memang jadualnya begitu iaitu di hujung tahun dan kita berdepan dengan cuaca hujan,” katanya pada sidang akhbar sempena lawatan kerja ke sekolah-sekolah terjejas banjir di sini pada Isnin.
Sementara itu, beliau menafikan dakwaan seorang bekas guru yang tular di media sosial mendakwa ada beberapa calon SPM terpaksa tidur di surau berikutan keadaan asrama dan khemah yang sudah penuh.
"Mereka termasuk di semua negeri, Terengganu, Kelantan dan Kedah selain sebahagian di Pahang serta Negeri Sembilan,” katanya.
Fadhlina memberitahu, calon-calon yang tidak boleh pulang ke negeri masing-masing juga diberikan kebenaran untuk mengambil peperiksaan di mana-mana pusat peperiksaan tempat mereka berada.
Peperiksaan SPM 2024 di seluruh negara bermula dengan Ujian Bertutur Bahasa Melayu pada Isnin melibatkan lebih 5,000 calon terjejas banjir.