Prestasi pelaburan di Perak memberangsangkan

Iklan
Sze Yee ketika menjawab soalan lisan Seng Guan sempena Sidang DUN Perak di sini pada Isnin.

IPOH - Prestasi pelaburan di Perak memberangsangkan dengan jumlah keseluruhan sebanyak RM3.04 bilion melibatkan 166 projek dalam tempoh Januari hingga Jun 2024.

Exco Pelancongan, Industri, Pelaburan dan Pembangunan Koridor Negeri Perak, Loh Sze Yee berkata, daripada jumlah itu, RM2.85 bilion merupakan pelaburan domestik manakala RM184.2 juta merupakan pelaburan asing.

Iklan
Iklan

Menurutnya, sektor perkilangan menyumbang RM601.5 juta daripada 30 projek melibatkan RM457.3 juta pelaburan domestik dan RM144.2 juta pelaburan asing.

"Manakala sektor perkhidmatan menyumbang RM2.44 bilion daripada 136 projek merangkumi RM2.4 bilion pelaburan domestik dan RM40 juta pelaburan asing.

Iklan

"Pelaburan ini dijangka akan mewujudkan 1,560 peluang pekerjaan, dengan 1,249 pekerjaan dalam sektor pembuatan dan 311 pekerjaan dalam sektor perkhidmatan,” katanya ketika menjawab soalan lisan Ong Seng Guan (PH-Pokok Assam) sempena Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak di sini pada Isnin.

Mengenai pelaburan di Taiping, Sze Yee berkata, jumlah pelaburan yang diluluskan dalam tempoh yang sama adalah sebanyak RM272.7 juta, terdiri daripada RM112.3 juta pelaburan domestik dan RM160.4 juta pelaburan asing.

Iklan

Katanya, projek-projek yang diuruskan di bawah seliaan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) merangkumi 17 projek yang dijangka mencipta 277 peluang pekerjaan.

Beliau berkata, pelaburan baharu di Taiping juga menunjukkan perkembangan positif dengan beberapa projek sedang dibangunkan secara aktif, termasuk kilang pembuatan produk elektrik dan elektronik, komponen mesin, dan produk sektor semikonduktor.

Menurutnya, pelaburan tersebut melibatkan pelabur domestik yang memperluaskan operasi mereka dari Pulau Pinang serta pelabur asing yang membekalkan kepada syarikat multinasional di rantau ini.

Sze Yee berkata, projek-projek berkenaan dijangka siap dan mula beroperasi antara tahun 2025 hingga 2026.


Jumlah rumah tak terjual di Perak menurun

Sandrea ketika menjawab soalan lisan Sallehuddin ketika Sidang DUN Perak di sini pada Isnin.

IPOH - Jumlah unit rumah tidak terjual di Perak mencatatkan penurunan bagi suku ketiga tahun 2024.

Exco Perumahan dan Kerajaan Tempatan Perak, Sandrea Ng Shy Ching berkata, berdasarkan laporan Pusat Maklumat Harta Tanah Negara (NAPIC), jumlah tersebut menunjukkan penurunan signifikan daripada 4,161 unit kepada 3,039 unit.

Menurutnya, kerajaan negeri menyedari bahawa isu lambakan rumah telah menjadi perhatian dan kebimbangan apabila laporan Suku Kedua Tahun 2024 menyaksikan jumlah rumah tidak terjual di Perak melebihi 4,000 unit.

"Sebagai langkah segera, kerajaan negeri melalui LPHP (Lembaga Perumahan dan Hartanah Perak (LPHP) telah mengambil tindakan untuk meneliti dan mengatasi isu ini.

"Ini termasuk mengadakan perbincangan dengan pihak berkenaan bagi mengenal pasti lokasi projek perumahan serta faktor-faktor yang menyumbang kepada masalah rumah tidak terjual seperti lokasi pembinaan, strategi pemasaran, jumlah unit yang dilancarkan secara besar-besaran, konsep pembangunan dan harga jualan," katanya ketika menjawab soalan lisan Sallehuddin Abdullah (PN-Selinsing) sempena Sidang Dewan Undangan Negeri DUN) Perak di sini pada Isnin.

Sandrea berkata, pemaju mempunyai tanggungjawab penting dalam memastikan setiap projek pembangunan sesuai dengan keperluan dan kemampuan masyarakat setempat.

Menurutnya, melalui kajian pasaran yang lebih mendalam, pemaju dapat mengenal pasti jenis rumah yang diperlukan dan memastikan harga yang ditawarkan berpatutan.

Jelasnya, kepekaan terhadap faktor-faktor tersebut amat penting untuk memastikan keseimbangan antara permintaan dan penawaran rumah serta mengurangkan isu lambakan rumah tidak terjual pada masa akan datang.

Dalam pada itu, Sandrea berkata, kerajaan negeri sentiasa berusaha untuk menyelesaikan isu projek terbengkalai bagi melindungi kepentingan pembeli dan memastikan kesejahteraan rakyat.

Katanya, sebagai sebahagian daripada usaha berkenaan, satu memorandum persefahaman (MoU) telah ditandatangani antara LPHP dan Jabatan Perumahan Negara pada 10 Julai yang lalu.

Beliau berkata, inisiatif tersebut sekali gus menjadikan Perak sebagai negeri pertama yang memulakan kolaborasi strategik dengan kerajaan Persekutuan untuk memulihkan projek perumahan bermasalah.