KELAB penyokong Selangor, UltraSel berharap agar dapat mengadap Pengerusi Selangor FC yang juga Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin Idris Shah untuk berbincang mengenai masalah kelab itu.
Menurut UltraSel, pertemuan tersebut amat penting agar perbincangan secara mendalam dan terbuka mengenai kelab itu boleh dilakukan.
"Kami ingin bersua dengan pemilik Selangor FC atau pengerusi dengan harapan dapat meluah dan berbincang segala permasalahan pengurusan kelab secara mendalam dan terbuka.
"Pertemuan ini penting dan perlu disegerakan," kata UltraSel menerusi poster dimuat naik di aplikasi X ultra Selangor.
Selangor FC mendapat tamparan hebat tersingkir daripada saingan Piala Malaysia selepas tewas kepada Sri Pahang FC pada pusingan 16 di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) pada Ahad.
Dalam perlawanan itu, UltraSel turut menaikkan kain rentang tertulis 'townhall' dengan pemilik? Bila?.
Sebelum ini, UltraSel turut mempersoalkan mengenai beberapa jawapan yang telah diberikan oleh pengurusan kelab itu dalam satu sesi perjumpaan dengan penyokong baru-baru ini.
Mereka mendakwa jawapan yang diberikan kelab itu mencambahkan lebih banyak persoalan tentang apa yang berlaku dalam pengurusan pasukan selain isu pengunduran pengendali terdahulu, Nidzam Jamil.