PM kagum sifar luar biasa mangsa banjir, kecekalan petugas

Iklan
Anwar menyantuni mangsa banjir di PPS Sekolah Kebangsaan Mangkok, Bandar Permaisuri, Terengganu pada Ahad. Foto Bernama

PUTRAJAYA - Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini menzahirkan rasa kagum dengan sikap reda mangsa banjir serta kecekalan petugas bantuan yang tidak mengenal erti lelah dan menyifatkan rakyat Malaysia mempunyai sifat luar biasa menghadapi bencana banjir.

Anwar berkata, beliau sangat terkesan dan terharu apabila melihat sendiri persiapan di pusat pemindahan sementara (PPS) ketika menyantuni mangsa banjir di Terengganu baru-baru ini.

Iklan
Iklan

"Semalam saya bersama Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar dan Ketua Pengarah Nadma, Datuk Khairul Shahril Idrus melihat sendiri persiapan di pusat pemindahan, bertanya mengenai mutu makanan, walaupun keselesaan tempat terbatas, namun rawatan, perubatan, dan seluruh jentera bantuan berjalan dengan sangat baik.

Turut hadir Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Fadillah Yusof serta Ketua Setiausaha Negara (KSN), Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar.

Iklan

Anwar turut memuji semangat ihsan Madani yang ditonjolkan oleh penjawat awam melalui inisiatif Skuad Ehsan Madani, seperti yang dinyatakan oleh KSN.

"Semua jentera kerajaan, termasuk anggota Kabinet, turun padang. Tiap-tiap menteri dan pegawai awam berada di lapangan,” katanya dan turut menyifatkan persiapan jentera menghadapi banjir kali ini adalah luar biasa melihat kepada kesiapsiagaan berbulan sebelumnya.

Iklan

Beliau juga merakamkan penghargaan kepada semua agensi yang terlibat dalam memastikan penyelarasan dari pelbagai aspek dilaksanakan lebih awal agar persiapan lebih baik dalam membantu mangsa banjir dengan cepat dan teratur.

Anwar berkata, kesiapsiagaan berbulan sebelumnya itu menjadikan misi bantuan kali ini dilaksanakan dengan berkesan dan kebanyakannya dilaksanakan oleh jentera kerajaan di peringkat persekutuan, negeri, perbandaran, daerah dan jajahan di Kelantan.

Banjir mula melanda negara sejak minggu lepas dengan Kelantan paling teruk dilanda bencana itu yang merekodkan 85,778 mangsa banjir membabitkan 26,781 keluarga ditempatkan di 251 PPS hari ini.

Negeri-negeri lain yang dilanda bencana itu ialah Terengganu, Perak, Johor, Kedah, Pahang, Negeri Sembilan, Perlis dan Melaka dan hari ini jumlah mangsa banjir direkodkan di sembilan negeri itu seramai 138,052 orang. - Bernama