Malaysia sokong penuh penyertaan Timor-Leste dalam ASEAN - Anwar

Iklan
Anwar (kanan) bersama Perdana Menteri Timor-Leste Kay Rala Xanana Gusmão ketika sidang media bersama selepas mengadakan pertemuan, pada Isnin. Foto Bernama

PUTRAJAYA - [DIKEMAS KINI] Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata Malaysia menyokong penuh penyertaan Timor-Leste sebagai anggota tetap ASEAN.

Beliau berkata, Malaysia berharap dapat mengalu-alukan penyertaan Timor-Leste sebagai anggota tetap tahun depan apabila ia memegang jawatan sebagai pengerusi blok serantau itu.

Iklan
Iklan

"Kami akan melakukan apa sahaja yang perlu untuk membantu Timor-Leste, supaya proses itu dapat dipermudah dan dipercepatkan lagi," katanya dalam sidang media bersama rakan sejawatannya dari Timor Lester Kay Rala Xanana Gusmão di sini pada Isnin.

Xanana Gusmão yang memegang jawatan sebagai Perdana Menteri pada bulan Julai tahun lepas, tiba untuk lawatan sulungnya ke negara ini semalam.

Iklan

Anwar berkata, sokongan penuh Malaysia terhadap perkara itu turut disampaikan kepada Xanana Gusmão, semasa mesyuarat dua hala, yang diadakan awal hari ini.

Timor-Leste sedang menunggu konsensus negara anggota ASEAN untuk diterima sebagai anggota penuh blok serantau itu.

Iklan

Timor-Leste diiktiraf sebagai negara pemerhati ASEAN dan menyertai Forum Serantau ASEAN pada 2005 sebelum secara rasmi memohon keahlian pada 4 Mac 2011.

Pada 2022 para pemimpin ASEAN berhimpun di Sidang Kemuncak ASEAN ke-40 dan ke-41 serta Sidang Kemuncak Berkaitan di Phnom Penh, Kemboja, dan pada dasarnya bersetuju supaya Timor-Leste menjadi anggota ke-11 blok itu.

Timor-Leste juga telah diberikan status pemerhati untuk mengambil bahagian dalam semua Mesyuarat ASEAN, termasuk sesi pleno.

Beliau berkata, kerjasama antara kedua-dua negara, mengukuhkan komitmen bersama terhadap keamanan, kestabilan dan pembangunan di rantau ini.

"Bercakap mengenai keamanan, kestabilan dan pembangunan, kami turut menyuarakan kebimbangan kami dengan penderitaan berterusan rakyat di Ukraine dan Gaza. Bersama-sama, kita akan melakukan segala-galanya untuk menyelesaikan masalah itu," katanya.

Beliau menekankan kepentingan dialog, toleransi dan pematuhan kepada undang-undang antarabangsa, sambil menyatakan semasa situasi di Ukraine sering diperkatakan dari sudut undang-undang antarabangsa, nasib rakyat Palestin di Gaza pula sering diabaikan.

"Sebelum dan selepas Timor-Leste bergabung dengan ASEAN, bersama-sama kita akan berjuang untuk keamanan di dunia,” kata Xanana Gusmão.

Sementara itu dalam kenyataan bersama, Malaysia merakamkan penghargaan tinggi kepada Timor-Leste atas pemberian sebidang tanah di Dili untuk membangunkan premis diplomatiknya.

Anwar dan Xanana Gusmão mengalu-alukan pemeteraian Perjanjian Konsesi Tanah oleh Menteri Luar kedua-dua negara, dan Malaysia berharap untuk memulakan pembangunan kompleks kedutaan itu secepat mungkin.

Kedua-dua pemimpin juga menangani krisis yang semakin meruncing di Myanmar, mengukuhkan komitmen mereka kepada Konsensus Lima Perkara Pemimpin ASEAN (5PC) sebagai rangka kerja panduan bagi menyelesaikan krisis politik di negara itu.

Mereka juga membincangkan beberapa isu serantau, khususnya perkembangan di Laut China Selatan, menekankan kepentingan dialog berterusan dan resolusi damai berdasarkan undang-undang antarabangsa termasuk Konvensyen Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai Undang-undang Laut (1982).

Anwar dan Xanana Gusmão turut menyuarakan kebimbangan berhubung konflik di Gaza, menyeru gencatan senjata segera dan kekal, di samping menuntut Israel memastikan bantuan kemanusiaan disalurkan tanpa sebarang halangan kepada rakyat Palestin di Wilayah Palestin yang Diduduki.

Kedua-dua pemimpin juga mengesahkan sokongan mereka terhadap penubuhan sebuah negara Palestin yang merdeka dan berdaulat, berdasarkan persempadanan sebelum 1967, keanggotaan penuh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) Palestin, dan pematuhan kepada resolusi PBB yang berkaitan. - Bernama