PASIR MAS - Peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2024 melibatkan kira-kira 5,000 calon di semua negeri terjejas banjir termasuk Kelantan, Terengganu dan Kedah pada hari pertama berjalan lancar pada Isnin.
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek, berkata, penugasan penting menerusi Op Payung melibatkan pemindahan calon-calon SPM terjejas banjir terutama melibatkan soal keselamatan dan kebajikan mereka, 100 peratus selesai pada Ahad.
"Kami siap melakukan pemindahan besar-besaran untuk memastikan calon-calon dipindahkan ke asrama bagi menghadapi peperiksaan SPM.
"Kementerian seterusnya memasuki fasa kedua iaitu pembugaran emosi, peneguhan dan memastikan psikososial mereka dipersiapkan untuk menghadapi peperiksaan serta berjalan lancar,” katanya pada sidang akhbar sempena Lawatan Kerja Menteri Pendidikan ke sekolah-sekolah di sini, pada Isnin.
Beliau memberitahu, operasi membabitkan kerjasama semua agensi kerajaan iaitu tentera, polis, bomba dan agensi lain yang dalam proses memindahkan calon bagi permulaan menduduki Ujian Bertutur Bahasa Melayu pada Ahad.
"Persiapan di semua peringkat khususnya Pejabat Pendidikan Daerah PPD sangat lancar dalam memastikan keselesaan calon-calon,” katanya.
Tambah beliau, terdapat kesemua 34 pusat peperiksaan dengan calon-calon terjejas banjir terlibat lebih 3,000 di Kelantan, Terengganu lebih 1,000 manakala Kedah lebih 500 calon.
"Calon-calon ditempatkan di asrama lengkap dengan fasiliti, buku, akses kepada komputer dan internet untuk sokongan selain dipastikan cukup makanan, keselamatan serta kaunselor.
"Kebajikan mereka menjadi tumpuan kami pada fasa pertama manakala fasa kedua ini adalah sokongan psikososial dan emosi mereka,” kata beliau.