BALIK PULAU - Tindakan seorang lelaki warga asing untuk menyeludup bekalan dadah ke luar negara gagal apabila ditahan sepasukan polis di sebuah jeti di Teluk Bahang, George Town pada jam 8.30 pagi, 1 Disember.
Lelaki Indonesia tersebut ditahan bersama dadah jenis ganja, methylenedioxy-methamphetamine (MDMA) dan syabu bernilai RM217,424.
Ketua Polis Daerah Barat Daya, Asisten Komisioner Sazalee Adam berkata, lelaki berusia 29 tahun itu disyaki terlibat dalam kegiatan pengedaran dadah untuk pasaran luar negara.
Menurutnya, suspek ditahan bersama beg ketika berada di atas sebuah bot yang disewa daripada orang tempatan untuk pulang ke tempat asalnya di Riau.
"Suspek telah menyewa bot tersebut dengan kadar RM3,000 dan dipercayai untuk membawanya sehingga ke kawasan sempadan dan kemudiannya menaiki bot lain untuk ke Riau.
"Kita percaya, kesemua bekalan dadah tersebut adalah untuk pasaran di Indonesia. Bagaimanapun, kita masih menyiasat dari mana suspek mendapat kesemua bekalan dadah tersebut," katanya pada sidang akhbar di Ibupejabat Polis Daerah Barat Daya di sini pada Isnin.
Tambah Sazalee, suspek memasuki ke negara ini pada 28 September lalu menerusi Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan mempunyai dokumen perjalanan lengkap dan sah.
"Ini merupakan pertama kali suspek masuk ke Malaysia dan dia baru bergiat aktif dalam kegiatan mengedar dadah.
"Bagaimanapun, siasatan masih diteruskan untuk mengenalpasti sama ada suspek mempunyai rakan jenayah yang lain," katanya.
Beliau berkata, pemeriksaan pada beg yang dibawa suspek menjumpai enam ketul ganja bernilai RM20,150, enam bungkus syabu bernilai RM195,200 dan dua peket MDMA bernilai RM2,074.
"Hasil ujian saringan air kencing mendapati suspek negatif dadah selain tiada rekod jenayah lampau. Suspek direman tujuh hari untuk siasatan lanjut.
"Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952," ujarnya.
Dalam kes berasingan, seorang peniaga buah ditahan bersama 11.4 liter air ketum, 27 kilogram daun ketum dan peralatan memasak air ketum pada 1 Disember.
Sazalee berkata, suspek berusia 58 tahun itu ditahan di rumahnya di Kuala Jalan Bahru, Mukim D di sini.
"Suspek menjadikan rumahnya untuk memproses ketum sebelum dijual kepada pelanggan tetapnya. Semakan mendapati, suspek telah ditahan sebanyak enam kali dengan kesalahan yang sama.
"Ini adalah kali ketujuh suspek ditahan. Suspek mempunyai enam rekod dadah di bawah Akta Racun, dua rekod dadah dan dua rekod jenayah," katanya.
Beliau menambah, ujian saringan air kencing suspek mendapati negatif dadah.
"Suspek direman empat hari sehingga 5 Disember ini untuk siastan di bawah Seksyen 30(3) Akta Racun 1952," jelasnya.
Pos ganja dalam gula-gula, vape dari benua Amerika
Di SELANGOR, taktik menyeludup ganja dalam bentuk produk makanan seperti gula-gula dan coklat dipatahkan apabila kotak bungkusan terbabit diperiksa di sebuah gudang perkhidmatan kurier di Bukit Jelutong, Shah Alam.
Penolong Ketua Pengarah Kastam Zon Tengah, Norlela Ismail berkata, pemeriksaan dilakukan Bahagian Penguatkuasaan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Zon Tengah Unit II (Selangor) pada 3 Oktober lepas.
"Pemeriksaan di dalam kotak itu menemui pelbagai bentuk dadah jenis ganja seberat 448 gram bernilai RM13,555.
"Ganja itu dipercayai diimport dari benua Amerika dengan dicampur dalam coklat, rokok elektronik (vape) dan gula-gula," katanya dalam sidang akhbar di Pejabat Kastam Pelabuhan Utara di sini pada Isnin.
Beliau berkata, siasatan mendapati bungkusan kotak itu diikrar sebagai barangan hiasan perkahwinan.
Katanya, JKDM mengesan penerima bungkusan itu dari Kuala Lumpur dan siasatan masih dijalankan untuk mengesan individu terbabit untuk tindakan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.
Dalam perkembangan berlainan, Norlela turut memaklumkan sejumlah 26,400 liter ethanol berjaya dirampas susulan pemeriksaan terhadap 160 tong drum di Pelabuhan Barat pada 5 November lalu.
Jelasnya, kesemua barangan itu diletakkan dalam sebuah kontena dipercayai dari China.
"Siasatan juga mendapati dagangan itu telah dibawa masuk tanpa permit import dan diisytiharkan sebagai sejenis bahan kimia Dithiocarbonates untuk kegunaan racun serangga.
"Nilai rampasan termasuk duti cukai berjumlah RM2.57 juta dan kes disiasat mengikut Seksyen 135 dan 133 (1) (a) Akta Kastam 1967," jelasnya.
Polis rampas dadah bernilai lebih setengah juta
Sementara itu di JOHOR BAHRU, polis merampas dadah bernilai RM523,039 dan menahan seorang lelaki dalam satu operasi di sekitar kawasan Mutiara Rini di sini, Khamis lalu.
Menurut Ketua Polis Iskandar Puteri, Asisten Komisioner M Kumarasan, lelaki tempatan berusia 33 tahun itu ditahan sekitar jam 2 petang di lokasi.
"Hasil ujian saringan awal air kencing mendapati suspek positif dadah. Semakan mendapati suspek tidak mempunyai rekod lampau berkaitan dadah.
"Dalam operasi itu, polis merampas sejumlah dadah iaitu 3,115 gram serbuk ekstasi bernilai RM520,205, 990 gram ketamin (RM1,980), 1.40 gram syabu (RM154), 4.20 gram pil ekstasi (RM500) dan 1.14 gram pil erimin 5 bernilai RM200 yang dipercayai untuk pasaran tempatan iaitu di sekitar Iskandar Puteri dan Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB).
"Kesemua dadah berkenaan dirampas daripada beg sandang yang digunakan suspek dan kesemua dadah ini boleh digunakan oleh 3,500 penagih jika terlepas ke pasaran,” katanya.
Suspek telah dituduh bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.
Jika disabitkan kesalahan, suspek berdepan hukuman mati atau penjara seumur hidup.
Suspek kini direman selama lima hari mulai Jumaat hingga Selasa (esok).