KUANTAN - Beberapa lokasi rendah di daerah Jerantut di Pahang diramalkan banjir bermula Isnin hingga Rabu ini.
Berdasarkan info grafik dimuat naik Jabatan Pengairan dan Saliran Malaysia (JPS), situasi itu susulan daripada ramalan aras sungai Water Level Trend Forecast (WLTF) pada Isnin jam 4 pagi.
Info itu juga memberitahu ia juga berdasarkan status aras air sungai yang diramalkan menaik dan melebihi aras bahaya.
Lokasi yang dijangka banjir meliputi kawasan-kawasan rendah dalam lingkungan lima kilometer di sekitar Sungai Pahang di Jerantut iaitu Kampung Kuala Retang; Kampung Sepial; Kampung Tanjung Bungor; Kampung Kuala Tembeling; Kampung Bantal Seberang dan Kampung Batu Balak.
Turut terlibat di Kampung Keluang; Kampung Sungai Yap; Kampung Kuala Retang; Kampung Pasir Durian dan Kampung Doja.
Banjir yang diramalkan boleh berlaku lebih awal atau lewat dari masa yang dijangkakan.
Amaran tersebut dikeluarkan bagi membolehkan semua penduduk terutamanya di kawasan yang dijangka banjir berwaspada dan mematuhi arahan pihak berkuasa atau agensi-agensi pengurusan bencana banjir.
Orang ramai boleh mendapatkan maklumat lebih lanjut dengan melayari laman sesawang https://publicinfobanjir.water.gov.my dan Facebook @PublicinfoBanjir untuk maklumat lanjut.