Abd Hamid angkat sumpah Datuk Bandar Klang yang baharu

Iklan
Datuk Bandar Klang yang baharu, Datuk Abd Hamid Hussain mengangkat sumpah jawatan di MBDK pada Isnin

KLANG - Datuk Bandar Klang yang baharu, Datuk Abd Hamid Hussain mengangkat sumpah jawatan itu di Majlis Bandaraya Diraja Klang pada Isnin menggantikan Datin Noraini Roslan yang bersara.

Abd Hamid berkata, isu banjir antara yang akan menjadi fokus utama terdekat ini dengan mengenal pasti puncanya termasuk di 77 kawasan di dalam daerah Klang yang dikenal pasti berisiko.

Iklan
Iklan

"Sekarang ini musim banjir, kita cuba tangani dan bagaimana keupayaan kita untuk menangani bencana alam itu dan kedua kita akan lihat isu infrastrukur,” katanya selepas Majlis Angkat Sumpah Jawatan Datuk Bandar di MBDK di sini.

Tegasnya, penyelesaian isu banjir turut melibatkan kolam-kolam takungan serta saliran air yang dikenal pasti perlu diselenggara bagi mengelakkan kejadian tersebut daripada berlaku..

Iklan

"Kita akan cuba susun strategi bagaimana untuk kita atasi sama ada dengan peruntukan MBDK ataupun kerajaan negeri, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) atau kita minta pemaju yang bertanggungjawab untuk selesaikan kolam takungan,” jelasnya.

Dalam pada itu, Abd Hamid turut berkongsi persediaan MBDK bagi menyambut Hari Keputeraan Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah pada 11 Disember.

Iklan

"Pihak MBDK sudah membuat tindakan-tindakan untuk pastikan persiapan semasa sambutan hari tersebut dapat berjalan dengan baik, kita hias bandar dengan sebaik mungkin,” ujarnya.

Abd Hamid sebelum ini merupakan Yang Dipertua Majlis Perbandaran Sepang (MPS) dan menjalankan tugas tersebut bermula September 2020.