VMY2026: Isu kebersihan, keselamatan antara cabaran tarik pelancong

Iklan
Khairul Firdaus ketika persidangan hari pertama pada Mesyuarat Ketiga Penggal Ketiga, Majlis Parlimen ke-15 Dewan Negara di Bangunan Parlimen pada Isnin. Foto Bernama

KUALA LUMPUR - Isu berkaitan kebersihan, keselamatan dan kekurangan produk baharu yang menarik menjadi antara cabaran besar kerajaan dalam mempromosikan Tahun Melawat Malaysia 2026 (VMY2026), kata Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Khairul Firdaus Akbar Khan.

Beliau optimis cabaran tersebut dapat diatasi dengan kerjasama erat daripada kerajaan negeri dan badan bukan kerajaan (NGO), sekali gus memastikan sasaran ketibaan 35.6 juta pelancong tercapai.

Iklan
Iklan

"VMY2026 menyasarkan pendapatan sebanyak RM147 bilion dengan fokus kepada pelancong berpendapatan tinggi serta pelancongan lestari (sustainable tourism).

"Sebagai persediaan, pelbagai siri perbincangan telah diadakan dengan kementerian berkaitan, kerajaan negeri, Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), dan NGO untuk memastikan rantaian bekalan pelancongan dapat memberikan impak optimum,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Negara pada Isnin.

Iklan

Beliau menjawab soalan Senator Datuk Bobbey Suan mengenai cabaran dalam persediaan VMY2026.

Khairul Firdaus turut menekankan usaha meningkatkan ketersambungan pelancongan melalui kerjasama strategik dengan syarikat penerbangan seperti Malaysia Airlines, AirAsia, dan Batik Air untuk menggalakkan penerbangan sewaan khas ke destinasi utama.

Iklan

Selain itu, Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) memperhebat promosi secara dalam talian melalui platform seperti Facebook, TikTok, dan YouTube untuk meningkatkan visibiliti Malaysia di mata dunia.

"Kami juga akan bekerjasama dengan pempengaruh terkenal bagi mempromosikan destinasi pelancongan negara,” katanya. - Bernama