PASIR MAS - Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) mengumpul laporan kerosakan fasiliti sekolah-sekolah yang terjejas banjir di seluruh negara.
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, pihaknya akan memastikan kesemua infrastruktur dibaiki sebelum sesi persekolahan akan datang, bermula.
"Kementerian menunggu laporan daripada semua Pejabat Pendidikan Daerah dan Jabatan Pendidikan Negeri serta setiap kerosakan memang berada dalam pemantauan KPM.
"Kami akan pastikan infrastruktur sekolah terlibat akan dibaiki segera untuk keselesaan anak-anak melalui peruntukan bencana yang sedia ada,” katanya pada sidang akhbar sempena lawatan kerja ke sekolah-sekolah terjejas banjir di sini pada Isnin.
Menyentuh persiapan KPM memandangkan gelombang banjir khususnya di Kelantan dijangka lebih buruk selepas ini, Fadhlina berkata, kementerian itu bersiap siaga sepenuhnya termasuk kemungkinan berlaku situasi luar jangka yang mungkin menyukarkan calon SPM untuk hadir.
Katanya, persediaan itu dibuat berdasarkan prosedur operasi standard (SOP) Op Payung.
"SOP akan ditambah baik antaranya melibatkan cadangan menyediakan jaket keselamatan dan bot untuk petugas-petugas peperiksaan supaya keadaan lebih baik juga terkawal dari semasa ke semasa,” kata beliau.
Fadhlina dalam pada itu memberitahu insiden trak tujuh tan milik Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang tergelincir semasa Op Murni pada Ahad di Rantau Panjang tidak melibatkan calon SPM.
"Kami sahkan kejadian itu tidak melibatkan pelajar dan ketika itu trak tersebut kosong serta hanya membawa tentera sahaja.
"Trak terlanggar parit kemudian terbalik, proses pemindahan seterusnya berjalan lancar,” katanya.