PUTRAJAYA - Lima Ahli Jawatankuasa Aduan (JKA) menerima surat watikah pelantikan secara pentadbiran sebagai ahli panel badan pemantau bebas Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi tempoh tiga tahun sehingga 2027.
SPRM dalam satu kenyataan memaklumkan, pelantikan itu yang berkuat kuasa 2 Disember adalah selari dengan peruntukan mengikut Seksyen 15 Akta SPRM 2009 (Akta 694).
"Tiga ahli lama telah dilantik semula iaitu Datuk Dr Ruziati Mior Ahamad Ariffin sebagai Pengerusi JKA yang baharu selain Prof Datuk Noor Aziah Mohd Awal dan Adrain Jerome Karuna Devan," katanya pada Isnin.
Ujar SPRM, dua lagi ahli baharu yang menerima watikah lantikan adalah bekas Ketua Pengarah Keselamatan Negara, Datuk Mohd Rabin Basir dan bekas Pengarah Institut Tadbiran Awam Negara (Intan), Datuk Dr Alauddin Sidal.
Katanya, JKA berfungsi bagi memantau pengendalian SPRM membabitkan aduan salah laku pegawai di suruhanjaya itu yang tidak bersifat jenayah.
JKA merupakan salah satu daripada lima badan pemantau bebas SPRM iaitu Jawatankuasa Khas Mengenai Rasuah (JKMR), Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah (LPPR), Panel Perundingan dan Pencegahan Rasuah (PPPR) dan Panel Penilaian Operasi (PPO).
SPRM adalah agensi penguatkuasaan pertama di Malaysia yang mempunyai badan bebas bertindak sebagai mekanisme semak dan imbang.
"SPRM berharap pelantikan ini mampu memperkasa serta memantapkan jawatankuasa berkenaan dalam melaksanakan fungsinya seterusnya membantu suruhanjaya ini dalam penambahbaikan sistem dan prosedur kerja," katanya.