KUANTAN - Perikatan Nasional (PN) perlu memastikan kemenangan dalam Pilihan Raya Umum (PRU) terlebih dahulu sebelum membincangkan soal pembahagian kuasa, termasuk pemilihan menteri besar (MB) dan isu-isu lain.
Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, perbincangan mengenai siapa yang perlu diberi keutamaan dalam soal tersebut hanya akan dilakukan selepas kemenangan dicapai.
Iklan
Iklan
"Yang penting kita menang dulu, baru kita boleh bincang soal untung," katanya ketika sidang akhbar selepas sesi Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang di Wisma Sri Pahang pada Isnin.
Pada Jumaat, Presiden Parti Pribumi Bersatu (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin dilaporkan berkata bahawa partinya kini menyasarkan jawatan menteri besar di Pahang, Perak, dan Selangor jika PN berjaya merampas negeri-negeri itu dalam PRU akan datang.
Muhyiddin yang juga Pengerusi PN menjawab soalan berkenaan kedudukan Bersatu bersama Pas yang kini mengetuai pentadbiran di empat negeri, iaitu Kelantan, Terengganu, Kedah, dan Perlis.
Mengulas lanjut, Tuan Ibrahim berkata, parti perlu mengatur strategi dan fokus pada kemenangan terlebih dahulu, sebelum memperincikan perbincangan mengenai perkara-perkara lain.
"Kita perlu perkasakan parti. Soal masa depan dan pandangan individu boleh dibincangkan, tetapi ini bukan pandangan rasmi parti," ujarnya.