Calon SPM terjejas banjir dibenar tinggal di asrama ditetapkan

Iklan
Ruji beramah mesra dengan calon SPM ketika melakukan tinjauan di Pusat Peperiksaan SPM di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tunku Abdul Malik di sini pada Isnin.

ALOR SETAR - Calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2024 yang terjejas banjir dibenarkan tinggal di asrama sekolah ditetapkan sepanjang tempoh peperiksaan berlangsung mulai Isnin hingga Februari depan.

Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan (KPM), Datuk Ruji Ubi berkata, langkah itu bagi memastikan semua calon SPM dapat mengulang kaji pelajaran dengan selesa dan menduduki peperiksaan dengan lancar.

Iklan
Iklan

Katanya, KPM dan Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) telah membuat perancangan rapi sejak Oktober lalu, bagi memastikan peperiksaan SPM 2024 termasuk ujian bertulis yang dijadual bermula awal bulan depan berjalan lancar.

"Di Kedah, seramai 7,000 pelajar dilaporkan hadir menduduki Ujian Lisan Bahasa Melayu bermula hari ini, di 264 pusat peperiksaan di seluruh negeri dan peperiksaan ini akan berjalan sepanjang minggu ini, diikuti Ujian Lisan Bahasa Inggeris minggu hadapan.

Iklan

"Bagi pelajar yang terjejas, kita benarkan mereka menduduki peperiksaan di sekolah lain, katanya ketika sidang media selepas melakukan tinjauan di Pusat Peperiksaan SPM di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tunku Abdul Malik di sini pada Isnin.

Menurutnya, kementerian juga telah bersedia sekiranya musim tengkujuh ini berterusan sehingga ujian bertulis SPM yang akan bermula 2 Januari depan.

Iklan

"Pelajar yang terlibat boleh terus tinggal di asrama dan KPM akan menyediakan kemudahan penginapan, makan minum serta bimbingan guru kaunseling," katanya.

Dalam pada itu, mengenai situasi banjir yang menjejaskan operasi persekolahan di Kedah, Ruji memaklumkan empat daerah iaitu Kota Setar, Kubang Pasu, Sik dan Padang Terap didapati paling terjejas akibat bencana berkenaan.

"Setakat ini sejumlah 15 sekolah ditutup kerana dijadikan Pusat Pemindahan Sementara (PPS), jadi operasi persekolahan membabitkan kira-kira 1,500 pelajar terjejas.

"Disebabkan itu, kita minta ibu bapa sekiranya mempunyai anak yang menduduki peperiksaan SPM dan bimbang mereka tidak dapat hadir peperiksaan akibat air naik, boleh minta mereka duduk di asrama yang disediakan,” jelasnya.

Setakat jam 12 tengah hari pada Isnin seramai 7,871 mangsa banjir daripada lima daerah iaitu Kota Setar, Kubang Pasu, Pokok Sena, Padang Terap dan Sik masih ditempatkan di 45 PPS.