BALIK PULAU - Seorang wanita warga Nigeria berjaya melarikan diri dari sebuah rumah di Bayan Lepas di sini setelah diperdaya oleh sekumpulan penjenayah yang menjadikannya sebagai hamba seks.
Ketua Polis Daerah Barat Daya, Asisten Komisioner Sazalee Adam berkata, mangsa yang berusia 25 tahun tiba di negara ini melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur pada 10 Oktober lalu.
Menurutnya, perjalanan dan urusan pekerjaan mangsa di negara ini telah diuruskan seorang wanita warga Nigeria.
"Mangsa dijanjikan untuk bekerja sebagai pembantu rumah, namun setelah dia tiba di sini, dia dijadikan hamba seks dan dikurung di sebuah rumah sewa di Bayan Lepas.
"Mangsa akan dibawa ke beberapa kelab malam di daerah Timur Laut, mengikut kepada pesanan pelanggan.
"Sindiket ini akan menerima bayaran antara RM150 hingga RM500 untuk sekali perkhidmatan," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah Barat Daya di sini pada Isnin.
Tambah beliau, mangsa kemudiannya berjaya melarikan diri ke Kedutaan Nigeria untuk membuat laporan pada 28 November lalu.
"Bertindak di atas maklumat yang diperoleh, kita berjaya menahan empat suspek iaitu seorang wanita tempatan, dua lelaki dan seorang wanita Nigeria. Salah seorang daripada mereka merupakan pasangan kekasih.
"Kesemua mereka yang berusia lingkungan 24 hingga 37 tahun ditahan pada jam 10 malam, 30 November lalu di sebuah rumah di Bayan Lepas," ujarnya.
Sazalee berkata, suspek warga Nigeria berada di Malaysia sejak Januari lalu dengan menggunakan pas pelancong.
"Mereka kini direman tujuh hari untuk membantu siasatan manakala mangsa dibawa ke pusat perlindungan untuk sementara waktu.
"Kes disiasat mengikut Seksyen 12 Akta Anti Pemerdagangan Manusia dan Anti Penyeludupan Migran (Atipsom) 2007," tambahnya.