IPOH - Ketua Pembangkang Perak, Razman Zakaria tampil memohon maaf terhadap Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad susulan ucapannya dalam satu himpunan di Dataran Menara Condong baru-baru ini.
Permohonan maaf itu dibuat di dalam Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak ketika membahaskan Belanjawan Negeri Perak 2025 di sini pada Isnin.
Iklan
Iklan
"Saya mengemukakan permohonan maaf, bukan ADUN Bercham (Ong Boon Piow) sahaja yang sayang MB (Menteri Besar), saya pun (sayang) sebab orang kampung, saya kenal.
"(Ucapan) itu diambil di luar konteks. Kalau terasa dengan ucapan saya, saya minta maaf. MB orang baik, saya minta (peruntukan) untuk maahad tahfiz dia bagi, saya minta bagi kereta baharu pada ketua pembangkang, mana nak cari MB macam ini?" katanya ketika berucap di dalam Sidang DUN Perak itu.
Dalam pembentangan Belanjawan Negeri Perak 2025 pada 29 November lalu, Saarani meluahkan rasa terkilan dengan pihak tertentu yang memberi gelaran biadab dan menghina pentadbiran kerajaan negeri.
Menurutnya, pelbagai kejayaan dikecapi kerajaan negeri selama ini tidak dipandang sebagai suatu pencapaian yang membanggakan.
Sebaliknya beliau berkata, mereka seboleh-bolehnya cuba menutup kejayaan dikecapi dengan kebencian.