KPWKM hantar sukarelawan tambahan bantu urus mangsa banjir - Noraini

Iklan
Noraini (dua dari kiri) mendengar penerangan daripada Pegawai Kebajikan Masyarakat Jajahan Kota Bharu, Azizah Zakaria (kanan) berkaitan jumlah mangsa banjir yang ditempatkan di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan (SK) Kubang Kerian 2 sewaktu melakukan lawatan, pada Isnin. Foto Bernama

KOTA BHARU - Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) akan menghantar sukarelawan tambahan kepada negeri terjejas banjir sepanjang musim Monsun Timur Laut bagi membantu pengurusan mangsa terlibat.

Timbalan Menterinya, Datuk Seri Noraini Ahmad berkata, setakat ini terdapat 9,782 sukarelawan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) yang berdaftar di seluruh negara dan 101 sukarelawan tambahan telah dihantar ke negeri ini, Sabtu lepas.

Iklan
Iklan

Beliau berkata, usaha itu bagi memenuhi permintaan JKM Kelantan selepas negeri itu mengalami banjir luar jangka hingga lebih 96,000 orang terpaksa berpindah ke 264 PPS.

"Di Kelantan kita (KPWKM) ada kira-kira 697 sukarelawan JKM namun berikutan banyak PPS (pusat pemindahan sementara) dibuka, maka kita hantar sukarelawan (tambahan 101 orang) Sabtu lepas bagi menambah kekuatan yang ada," katanya.

Iklan

Beliau berkata kepada pemberita selepas melawat PPS Sekolah Kebangsaan Kubang Kerian 2 di sini pada Isnin yang menempatkan 219 mangsa daripada 57 keluarga.

Mengulas mengenai kesiapsiagaan menghadapi gelombang banjir seterusnya, Noraini berkata, pada masa ini terdapat 458 pangkalan hadapan di seluruh negara dengan 190 daripadanya di Kelantan, yang mampu menyediakan bekalan makanan mencukupi kepada mangsa banjir.

Iklan

"Sekiranya mana-mana PPS mengalami masalah bekalan makanan, boleh terus maklumkan kepada JKM dan kami sememangnya sedia untuk membantu.

"Selaku jabatan yang mengambil kira kebajikan mangsa sudah semestinya JKM tidak mahu perkara sebegitu (masalah bekalan makanan) berlaku," katanya sambil menafikan dakwaan berlaku kejadian bantuan makanan tidak sampai kepada mangsa banjir di beberapa PPS di negeri ini.

Terdahulu, Noraini turut memantau banjir melalui udara dengan helikopter Polis Diraja Malaysia dan menghantar bantuan makanan di Kawasan Rukun Tetangga Lubok Setol, Rantau Panjang serta PPS Sekolah Menengah Kebangsaan Baroh Pial yang terputus jalan darat. - Bernama