PORT DICKSON - Tiga kubur di Tanah Perkuburan Islam Kampung Sawah di sini 'hilang' dua kepok dan satu batu nisan disyaki dicuri oleh pihak tidak bertanggungjawab.
Kejadian itu disedari penduduk kira-kira jam 12.30 tengah hari pada Ahad ketika datang menziarahi kubur ahli keluarganya.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung(JPKK), Mohamad Mat Nor berkata, kejadian itu mengejutkan penduduk kampung kerana ia pertama kali berlaku.
"Bila saya terima video dan gambar keadaan kubur yang hilang kepok dan batu nisan itu, saya bergegas ke lokasi untuk buat pemeriksaan.
"Saya dapati dua kubur hilang kepoknya dan satu lagi kubur hilang batu nisan yang mana ketiga-tiga kubur tersebut tidak mempunyai pertalian kekeluargaan," katanya kepada Sinar Harian pada Isnin.
Menurutnya, pihaknya telah pun memaklumkan kejadian itu kepada waris dan mereka juga terkejut apa yang berlaku.
Ini kerana ujarnya, tidak pernah lagi berlaku kes seumpama itu di kampung terbabit.
"Kami nak rumuskan kemungkinan ada amalan kurafat dilakukan oleh individu tertentu berhubung kehilangan itu atau ada isu-isu lain tak pastilah.
"Tapi ia memang agak pelik kerana tak pernah lagi orang mencuri di kubur," katanya.
Beliau juga tidak menolak kemungkinan kehilangan tersebut disebabkan ada individu tidak bertanggungjawab mahu menjualnya semula.
Sehubungan itu katanya, satu laporan polis telah pun dibuat di Balai Polis Bukit Pelandok pada Ahad jam 7 malam.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Port Dickson, Superintenden Maslan Udin mengesahkan menerima laporan kejadian dan memohon orang ramai tidak membuat sebarang spekulasi.