KOTA BHARU - Kenaikan harga ikan di negeri ini hanya membabitkan ikan laut segar kerana kekangan nelayan turun ke laut selain faktor banjir besar di selatan Thailand.
Timbalan Yang Dipertua Persatuan Pemborong Penjaja Ikan Negeri Kelantan, Zulkefli Ismail berkata, bagaimanapun hanya ikan kerisi dan cencaru yang mengalami kenaikan harga kerana tiada dalam stok ikan sejuk beku.
Beliau memberitahu harga belian ikan kerisi sebelum ini ialah RM12 dan sekarang mencecah RM14 hingga RM15.
"Stok ikan tidak banyak dan ada peniaga menjualnya pada harga antara RM15 hingga RM16," katanya.
Beliau memberitahu, harga belian ikan cencaru pula ialah RM8 dan dijual antara RM9 hingga RM10.
Zulkefli turut memberitahu, ikan kembung dan bawal dari Thailand, Vietnam dan India mungkin mengalami kenaikan harga susulan MTL.
"Ikan jenis ini juga tidak banyak dalam pasaran dan harga jualan antara RM14 hingga RM15 bagi saiz besar," katanya.
Dalam pada itu bagi ikan sejuk beku, kata beliau, harganya tidak banyak berubah dan berada pada paras biasa kerana stok makanan basah itu masih mencukupi.
Tambah Zulkefli, bekalan ikan juga diambil dalam pasaran tempatan dan tidak membabitkan kenaikan kos.
Menurut beliau, kebanyakan peniaga kini hanya menjual ikan sejuk beku yang masih banyak dalam stok.
"Ikan yang didakwa mahal itu mungkin ikan segar tetapi sangat sukar mendapatkan bekalannya kerana banyak bot nelayan tersadai dalam tempoh Monsun Timur Laut (MTL) selain bencana banjir," katanya.
Beliau turut mengingatkan pelanggan supaya tahu perbezaan antara ikan segar dan sejuk beku bagi mengelakkan mereka ditipu penjual ikan.
"Biasanya ikan sejuk beku masih ada ais dibadan namun ada peniaga yang merendamnya lebih lama supaya pelanggan percaya ia merupakan ikan segar.
"Di mana nak cari ikan segar musim ini? Nelayan pun tidak turun ke laut," katanya.
Sementara itu, peniaga ikan di Pasar Siti Khadijah di sini, Semek Deraman berkata, ikan yang dijual masih pada harga biasa antara RM8 hingga RM10 sekilogram bergantung pada saiz.
Semek yang menjual ikan bersama anaknya, Mukarasmas Mat Lazim, 29, berkata, ikan nelayan tempatan yang didakwa mahal kerana mereka sudah tidak turun ke laut.
"Memang setiap kali musim tengkujuh akan berlaku isu kenaikan harga ikan tetapi untuk tahun ini saya masih menjual pada harga biasa," katanya.
Peniaga ikan Armizi Abd Raman, 40, pula ikan selayang segar yang ditangkap nelayan berlaku kenaikan harga iaitu RM12 sekilogram.
Bagaimanapun katanya, ikan selayang segar sukar didapati dan mereka hanya menjual ikan selayang sejuk beku sahaja.
Katanya lagi harga ikan sejuk beku tidak terjejas dan masih pada harga sama.
"Kita ada ikan sejuk beku tempatan walaupun Thailand kini mengalami banjir besar," katanya.