Anuar Zain dilantik Duta Kemanusiaan MAHAR

Iklan
Anuar Zain bercakap kepada media pada majlis pelancaran kempen tersebut Ahad lalu.

PENYANYI tersohor negara, Anuar Zain dilantik sebagai Duta Kemanusiaan Malaysian Humanitarian Aid and Relief (MAHAR) sempena kempen 'Palestine Rays of Hope'.

Kempen tersebut bertujuan mengumpul dana bagi membantu rakyat Palestin yang sedang bergelut dengan krisis kekurangan makanan dan keperluan asas serta berdepan dengan musim sejuk yang bakal tiba tidak lama lagi.

Iklan
Iklan

Fokus pertama bantuan dari kempen ini adalah pakaian dan perkakasan musim sejuk.

Usaha bantuan ini sangat penting pada masa ini buat mereka kerana ia dapat meringankan beban mereka dan membawa harapan baharu untuk meneruskan kehidupan.

Iklan

Mengulas mengenai pelantikan tersebut, Anuar berkata, beliau sentiasa mengikuti secara rapat dengan apa yang berlaku di Gaza dan amat tersentuh dengan kesengsaraan yang dihadapi mereka.

Kali ini beliau merasakan perlu untuk terus membantu mereka dengan menerima cadangan kolaborasi sekaligus menjadi Duta Kemanusiaan MAHAR.

Iklan

"Peluang ini akan dimanfaatkan sepenuhnya untuk terus membantu rakyat Palestin yang sentiasa diuji dengan pelbagai cabaran.

"Jadi saya juga menyeru orang ramai dan pihak korporat untuk bersama-sama kami dalami kempen ‘Rays of Hope’ ini. Sumbangan anda mampu memberikan impak besar kepada kehidupan mereka,” katanya.

Tambahnya, sumbangan itu tidaklah dapat memulihkan sepenuhnya keperitan yang sedang mereka hadapi tetapi sekurang-kurangnya dapat memberikan sedikit keselesaan dan harapan kepada mereka ini.

"Saya sangat berbesar hati menjadi sebahagian daripada usaha yang MAHAR lakukan ini dan akan terus berkolaborasi untuk angin perubahan Palestin.

"Saya menyeru semua pihak untuk bersama-sama menjayakan misi ini,” ujarnya.

Sementara itu, Presiden MAHAR, Jismi Johari berkata, signifikan program yang dirancang MAHAR adalah untuk menunjukkan solidariti kita dengan saudara kita di bumi Gaza serta menterjemah rasa ihsan serta belas kasihan.

"Kita berharap usaha ini akan membentuk satu gelombang kebersamaan dari peringkat masyarakat untuk mencipta kebaikan secara berjemaah.

"Kempen ini bukan sahaja bertujuan memenuhi keperluan mendesak mereka yang terjejas, tetapi juga meningkatkan kesedaran tentang cabaran kemanusiaan yang berterusan di Palestin," katanya.