DAMSYIK - Rusia membantu tentera Syria dalam operasi untuk menggempur kedudukan puak pemberontak bersenjata dipimpin Hayat Tahrir al-Sham (HTS) di tiga wilayah utara Damsyik.
Bantuan itu diberikan semula selepas Moscow memberikan sokongan sama untuk membebaskan Aleppo daripada cengkaman pemberontak pada 2016.
"Pasukan Aeroangkasa Rusia bersama-sama dengan tentera rejim Presiden Bashar al-Assad memperhebatkan kempen serangan balas di Idlib, Hama dan Aleppo yang kini ditawan pakatan bersenjata antikerajaan.
"Sejak akhir minggu lalu, kedudukan pemberontak terus dihujani bom bertalu-talu dan lebih 320 anggota kumpulan itu dipercayai terbunuh,” menurut badan pemantau perang pada Ahad.
Sementara itu, perkhidmatan menyelamat kendalian pembangkang Syria, Helmet Putih mendakwa hampir 30 terkorban dalam serangan udara terbaharu yang dilancarkan tentera kerajaan dan Moscow di barat laut negara itu.
Gabungan sekutu itu mendakwa ia berjaya merampas semula beberapa bandar ditawan puak pemberontak berkenaan yang melancarkan serangan mengejut pada Rabu lalu.
"Jumlah kematian orang awam telah meningkat kepada lebih 50 termasuk 20 kanak-kanak,” jelas Helmet Putih menerusi catatan di platform X.
Ketika konflik perang saudara semakin tegang di Syria, Assad dengan tegas memberi amaran mereka akan menggunakan segala kekuatan yang ada untuk menghapuskan keganasan puak pemberontak berkenaan yang didakwa telah disokong pihak asing.
"Kami akan terus mempertahankan kestabilan dan integriti wilayah kami bersama dengan sekutu Damsyik. Kami berupaya membinasakan pengganas dan mereka yang menyokong puak pemberontak itu,” katanya.
Dalam perkembangan berkaitan, penulis blog perang Rusia mendakwa Kremlin telah memecat Sergei Kisel yang memimpin pasukan tentera mereka di Syria susulan kemaraan HTS bersama sekutu mereka di Aleppo.
Menerusi kenyataan bersama, Amerika Syarikat (AS), Perancis, Jerman dan Britan turut menggesa pihak bertelagah supaya melindungi orang awam dan infrastruktur kritikal bagi mengelakkan krisis kemanusiaan bertambah buruk. - Agensi