Banjir: KPT beri ruang universiti laksana pembelajaran dalam talian

Iklan
Zambry (kanan) bersama Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin ketika sidang media selepas Majlis Menandatangani Nota Kerjasama Antara Kementerian Pertahanan dan Kementerian Pendidikan Tinggi di Wisma Perwira ATM, Kuala Lumpur, pada Isnin. Foto Bernama

KUALA LUMPUR - Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) memberi ruang kepada universiti yang terjejas banjir untuk melaksanakan proses pengajian mengikut kesesuaian termasuk pembelajaran secara dalam talian.

Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir berkata, keputusan itu dibuat selepas perbincangan pagi tadi bersama Ketua Setiausaha KPT, Datuk Seri Dr Zaini Ujang, selain menyediakan bantuan kepada pelajar terjejas.

Iklan
Iklan

"Jika ada kawasan yang terjejas disebabkan ini (banjir), kita sangat fleksibel untuk menyediakan ruang (pembelajaran). Kaedahnya pelbagai.

"Sekarang ni, kawasan yang terlibat (banjir) di Kelantan dan Terengganu... kita bagi fleksibiliti kepada universiti, mereka tahu apa yang perlu laksanakan,” katanya pada sidang media selepas majlis penandatanganan nota kerjasama antara Kementerian Pertahanan dan KPT di sini pada Isnin.

Iklan

Mengenai bantuan kepada pelajar terjejas akibat banjir, Zambry berkata, terdapat pasukan sukarelawan Skuad Ihsan Madani akan membantu menyalurkan bantuan terbabit selain pihak universiti juga akan mengenal pasti pelajar yang terlibat dan kebanyakan mereka berada di kampus masing-masing.

Pada 29 November lepas, media melaporkan sebanyak 3,029 penuntut institusi pengajian tinggi awam terjejas banjir dengan 481 orang dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS) dalam kampus manakala 42 lagi dipindahkan ke PPS luar.

Iklan

Zambry berkata, pelajar yang terkesan khususnya di Pantai Timur melibatkan Universiti Sultan Zainal Abidin, Universiti Malaysia Terengganu dan Universiti Malaysia Kelantan serta politeknik. - Bernama